KUALA LUMPUR: Pelakon, Lana Nordin, 46, mengakui dirinya sekarang ini tidak lagi memburu watak-watak popular tetapi sekadar berlakon untuk mencari rezeki.
Kerana itu, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin kini lebih memilih watak yang memberi impak terhadap karier lakonannya berbanding mengaut semua tawaran lakonan yang datang kepadanya.
“Saya tidak kisah perkara itu (dilupakan peminat) kerana dalam fasa sekarang ini bukan lagi untuk mencari populariti tetapi mengumpul rezeki.
“Saya berlakon kerana minat, kalau ada tawaran berlakon dan watak itu sesuai, Insya-Allah saya tak akan sia-siakan,” katanya semasa acara Cuckootopia x Anugerah Melodi Terhangat di ibu negara baru-baru ini.
Katanya dia tidaklah menyepi daripada dunia lakonan malah masih menerima tawaran yang sesuai dengan keadaanya sekarang.
“Saya perlu memilih tawaran yang tidak mengambil masa terlalu lama, tidaklah saya ini keluar terus dari dunia lakonan, ada sahaja tawaran berlakon yang saya terima. Malah beberapa drama juga sedang dipertimbangkan.
“Tapi, saya tak boleh terlalu aktif. Bukan tak nak, tapi selain memilih watak mengikut kesesuaian masa, saya juga perlu memilih karakter yang sesuai dengan penampilan sekarang,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Lana memaklumkan dalam fasa sekarang dia hanya memberikan tumpuan kepada watak belum pernah dilakonkan sebelum ini.
“Seperti baru-baru ini saya melakonkan watak pesakit HIV. Watak itu berbeza dengan watak yang saya lakonkan sebelum ini.
“Saya memang mengintai watak sebegini. Saya sudah 20 tahun berlakon, kalau boleh sekarang ini berilah saya watak yang berlainan,” kongsinya.
Katanya lagi, hakikatnya watak jenis itulah yang membuka mata ramai pihak terhadap bakat lakonannya yang sebenar.
“Ramai penerbit yang mempersoalkan kebolehan saya membawa watak yang lebih mencabar. Namun mereka sedar saya sebenarnya mampu melakukannya.
“Seperti watak pesakit HIV, memang mencabar kerana menuntut saya untuk mengalirkan air mata setiap masa. penerbit sedar saya boleh melakonkan watak berat seperti itu.
“Sebagai pelakon, pada tahap ini, saya hanya mahu mencabar kebolehan lakonan saya. Jadi pasti saya terima kalau ada lagi watak berat dan mencabar, sudah-sudahlah berikan saya watak antagonis atau penyondol,” kongsinya.
Dalam pada itu, Lana memaklumkan sekarang ini dia perlu menyusun masa sebaik mungkin kerana kesibukan menguruskan hal rumah tangga.
“Saya lebih banyak menghabiskan waktu dengan keluarga, menguruskan perpindahan ke rumah baharu.
“Dalam masa yang sama, saya juga perlu menguruskan anak-anak kerana suami sedikit sibuk setelah dilantik menjadi Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia.
“Sebelum ini suami saya banyak masa di rumah menjaga anak-anak sementara saya bekerja, namun sekarang keadaan bertukar sebaliknya.
“Dalam masa yang sama, kami sekeluarga merancang untuk pulang ke Amerika Syarikat (AS) bagi melawat keluarga. Agak lama, dua tahun juga saya tidak pulang menjenguk mereka.
“Bapa mertua saya pun sudah berusia 84 tahun, jadi saya perlu menziarahi mereka. Kami sekeluarga terpaksa susun jadual kerana anak-anak masing-masing sekolah,” katanya lagi. – UTUSAN











