MANAGUA: Gunung berapi terkenal yang digelar ‘Mulut Neraka’ di Nicaragua kini dikhuatiri sedang aktif semula, menurut amaran yang dikeluarkan oleh kumpulan saintis.
Pasukan penyelidik menemukan bukti kewujudan dua kebuk magma yang kini semakin terisi di bawah gunung berapi aktif Masaya yang terletak hanya 20 kilometer dari ibu negara, Managua, yang dihuni oleh kira-kira dua juta penduduk.
Pada masa sama, ribuan pelancong membanjiri lokasi berkenaan setiap tahun bagi melihat kawah Santiago sarat dengan lahar panas, ciri utama yang memberikan gunung berapi tersergam itu nama julukan menggerunkan.
Perkembangan tersebut menjadikan ancaman letusan sebagai kebimbangan berterusan, manakala kajian terbaharu menemukan petanda aktiviti yang mencurigakan tersembunyi di bawah permukaan tanah.
Meskipun kajian berkenaan tidak mengenalpasti sebarang bahaya secara serta-merta, penemuan itu menunjukkan bahawa saluran ‘paip’ dalaman ‘Mulut Neraka’ adalah jauh lebih kompleks daripada yang dianggarkan sebelum ini.
Usaha memahami sistem tiub dan takungan magma berkenaan merupakan kunci utama bagi mengesan sebarang perubahan yang boleh menjadi petunjuk kepada letusan bakal berlaku.
Ketua pengarang kajian dari Penn State University, Lizzie Johnson berkata, pemahaman yang mendalam mengenai aktiviti gunung berapi Masaya dan bahaya bersangkut-paut dengannya adalah amat kritikal.
‘Mulut Neraka’ merupakan gunung berapi yang sangat kompleks, terdiri daripada kawah berlapis dan lubang benam yang terbentuk akibat kebuk magma yang telah kosong.
Disebabkan oleh kompleksiti berkenaan, rangkaian terowong dan kebuk di bawah permukaannya masih kurang difahami oleh komuniti sains.
Keadaan itu menyukarkan usaha untuk ‘membaca’ isyarat halus yang mungkin memberi petunjuk berhubung letusan yang bakal berlaku sekali gus membawa ancaman keselamatan serius kepada lokasi tarikan pelancong berhampiran bandar utama tersebut.
“Meskipun Masaya kali terakhir menghasilkan aliran lahar secara besar-besaran pada tahun 1772, proses pelepasan gas secara berterusan kerap menghasilkan kepekatan gas sulfur dioksida pada paras berbahaya,” kata Johnson.
Gunung berapi tersebut turut mencatatkan beberapa siri letusan kecil dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini. Walaupun insiden berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan setakat ini, pihak penyelidik tidak mahu mengambil sebarang risiko. – AGENSI











