TEL AVIV: Enam tentera Israel terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan semalam, menjadikannya antara hari paling berdarah dalam serangan darat rejim sejak permulaan konflik.
Menurut kenyataan tentera Israel, jumlah askar yang terbunuh sejak operasi darat Israel ke Lubnan pada 30 September lepas, kini mencecah 47 orang.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Pertahanan Israel yang baharu dilantik, Israel Katz, menegaskan tiada sebarang gencatan senjata akan diambil dalam perang menentang Hezbollah.
“Kami tidak akan menghentikan serangan, kami tidak akan mengendurkan tekanan, dan kami tidak akan membenarkan sebarang perjanjian yang tidak mencapai matlamat perang kami,” katanya.
Sejak 23 September, Israel memperhebatkan kempen pengeboman di Lubnan, dengan sasaran utama adalah kubu Hezbollah di selatan Beirut serta kawasan timur dan selatan negara tersebut.
Pada 30 September, Israel menghantar pasukannya dalam operasi darat ke Lubnan.
Serangan ini berlaku setelah hampir setahun pertempuran rentas sempadan yang dimulakan Hezbollah sebagai sokongan kepada sekutu mereka, Hamas, selepas serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.
Serangan Israel pada Rabu turut melanda Aramoun, sebuah kawasan padat penduduk di selatan Beirut, yang berada di luar kubu tradisi Hezbollah.
Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban dalam serangan tersebut.
Serangan juga dilaporkan kedengaran di kawasan pinggir selatan Beirut pada malam semalam, dengan video dari AFP menunjukkan asap berkepul dari kawasan yang berada di bawah perintah pemindahan Israel.
Serangan tersebut berlaku selepas media negara Lubnan melaporkan satu siri serangan udara Israel ke atas kubu Hezbollah dalam tempoh 24 jam.
Hezbollah yang disokong Iran turut mengaku bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu balistik ke arah ibu pejabat tentera Israel di Tel Aviv, yang juga menempatkan kementerian pertahanan negara itu. Bagaimanapun, jurucakap tentera Israel enggan mengulas dakwaan tersebut.
Lebih 3,360 orang dilaporkan terkorban di Lubnan sejak pertengahan Oktober 2023 apabila Hezbollah dan Israel mula terlibat dalam pertempuran rentas sempadan. – AGENSI










