50 kanak-kanak maut akibat serangan Israel di Jabalia

50 kanak-kanak maut akibat serangan Israel di Jabalia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Lebih 50 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di kem pelarian Jabalia di utara Gaza akibat serangan berterusan Israel selama dua hari berturut-turut di lokasi tersebut.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan badan amal Save the Children berkata, jumlah kematian kanak-kanak kini di tahap yang amat ‘mengerikan’ selepas Israel meneruskan kepungan ganas selama lebih sebulan di kem itu.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell berkata, seorang kakitangan UNICEF yang bekerja dalam kempen vaksinasi polio di utara kawasan itu diserang oleh dron quadcopter ketika memandu melalui Jabalia, yang mengalami serangan paling teruk di Israel.

Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, tentera Israel menggugurkan bom tangan mengejut ke atas pusat vaksinasi polio di bandar Gaza, mencederakan empat kanak-kanak.

Tentera rejim turut membunuh 13 rakyat Palestin dalam serangan udara yang menyasarkan dua kawasan berpenduduk padat di utara walaupun sudah bersetuju dengan jeda kemanusiaan untuk kempen inokulasi yang lama tertangguh.

“Peristiwa terbaharu ini menggabungkan satu lagi babak gelap dalam tempoh paling kelam perang dahsyat ini.

“Serangan ke atas Jabalia, klinik vaksinasi dan kakitangan UNICEF menjadi contoh akibat yang serius daripada serangan sewenang-wenangnya terhadap orang awam di Semenanjung Gaza. 

“Seluruh penduduk Palestin di utara Gaza, terutamanya kanak-kanak berdepan risiko kematian akibat penyakit, kebuluran dan pengeboman yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih 16,700 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu, lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kematian yang disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan.

Bercakap dari Deir el-Balah di tengah Gaza, Pengarah Kemanusiaan Antarabangsa Save the Children, Rachel Cummings berkata,  jumlah besar korban dalam kalangan kanak-kanak itu belum  termasuk kira-kira 20,000 lagi yang masih hilang.

Israel membunuh lebih 1,000 orang semasa pengepungan ganas selama sebulan di utara Gaza, malah tentera rejim turut bertindak menyekat kemasukan bantuan makanan dan perubatan yang melumpuhkan lagi kemudahan kesihatan kawasan itu.

“Orang ramai sentiasa dihujani dengan serangan udara dan sudah tentu, kita tahu makanan dan air tidak mencukupi. Konvoi makanan dan air sedang dinafikan ke utara. Ia benar-benar satu malapetaka.

“Kami kini seakan sedang melihat kiamat berlaku di utara Gaza,” kata Cummings.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN