Tentera Israel alami masalah mental selepas pulang dari Gaza

Tentera Israel alami masalah mental selepas pulang dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Krisis kesihatan mental dalam kalangan tentera Israel dilaporkan meningkat selepas pulang dari Gaza dan ada yang berdepan trauma teruk hingga membunuh diri.

Antaranya adalah bapa empat anak berusia 40 tahun, Eliran Mizrahi yang dihantar ke Gaza selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

“Enam bulan selepas Eliran dihantar untuk bertarung, dia bergelut dengan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) di rumah. Sebelum dia ditugaskan semula, dia mengambil nyawanya sendiri.

“Dia keluar dari Gaza, tetapi Gaza tidak keluar dari fikirannya. Dia sering memberitahu kami hanya mereka yang berada di Gaza bersamanya dapat memahami apa yang dia alami,” kata ibunya, Jenny Mizrahi dalam temubual bersama CNN.

Eliran ditugaskan memandu jentolak D-9, kenderaan perisai 62 tan yang boleh menahan peluru dan bahan letupan.

Sebelum memasuki tentera, dia adalah orang awam yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat pembinaan di Israel.

Menurut Jenny, selepas menghabiskan 186 hari di Gaza, Eliran dihantar pulang kerana mengalami kecederaan pada lutut dan kerosakan pendengaran.

Pada April lalu, tentera simpanan itu didiagnosis dengan PTSD, menerima terapi mingguan sebelum menembak diri sendiri, dua hari selepas bersetuju untuk kembali ke Gaza.

Jenny tertanya-tanya jika anaknya membunuh seseorang dan tidak dapat menanganinya.

“Dia melihat ramai orang mati dan mungkin juga membunuh seseorang. Tetapi kami tidak mengajar anak kami melakukan perkara seperti ini. Jadi, apabila dia berdepan sesuatu seperti ini, mungkin ia satu kejutan untuknya,” katanya.

Rakan Eliran, Guy Zaken yang turut menjadi pemandu jentolak di Gaza turut mengakui menyaksikan perkara yang sangat sukar diterima ketika berkhidmat.

Bekas tentera itu turut bercakap secara terbuka mengenai trauma psikologi yang dialami oleh tentera Israel di Gaza. 

Ketika memberi keterangan kepada Knesset Jun lalu, Zaken berkata, dalam banyak situasi, askar terpaksa melenyek pejuang Hamas hidup-hidup, menyebabkan dia hingga kini tidak lalu menjamah daging tiap kali terbayangkan keadaan tu.

Tentera Israel berkata, pihaknya menyediakan penjagaan untuk beribu-ribu askar yang menderita PTSD atau penyakit mental yang disebabkan oleh trauma semasa perang tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.

“Terdapat tanggapan rakyat Gaza, termasuk orang awam mereka menyokong Hamas dan membantu menyembunyikan peluru. Di lapangan, sikap ini berubah apabila mereka benar-benar melihat orang awam Gaza di depan mata.

“Kerana itu, ramai di antara kami sangat takut apabila dipanggil semula untuk berperang di Lubnan. Ramai di antara kita tidak mempercayai kerajaan sekarang,” kata seorang pegawai perubatan IDF yang berkhidmat selama empat bulan di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN