Pekerja berhak terima sepenuhnya wang tip - Utusan Malaysia

Pekerja berhak terima sepenuhnya wang tip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Golongan pekerja kini berhak menerima sepenuhnya wang tip daripada pelanggan di bawah undang-undang baharu yang melarang majikan daripada menahan bayaran tersebut, sama ada dalam bentuk tunai atau kad kredit.

Lebih tiga juta pekerja dalam sektor perkhidmatan di England, Scotland, dan Wales dijangka mendapat manfaat daripada undang-undang ini yang berkuat kuasa mulai Selasa. 

Syarikat yang melanggar undang-undang ini  boleh dikenakan tindakan di mahkamah tribunal oleh pekerja yang terjejas.

Undang-undang ini meliputi semua industri, tetapi dijangka memberi kesan terbesar kepada pekerja di restoran, kafe, bar, pub, salon rambut, serta pemandu teksi. 

Menurut peraturan baharu ini, semua tip mesti disalurkan kepada pekerja selewat-lewatnya pada penghujung bulan berikutnya daripada tarikh ia diterima.

Namun begitu, pekerja masih perlu membayar cukai ke atas tip yang diterima, seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya gembira dengan undang-unhang baharu ini kerana ia memberi perlindungan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan bekerja secara syif,” kata Tom William, pekerja dalam bidang pembangunan hartanah.

Beliau turut mendedahkan di tempat kerjanya sebelum ini, mereka dipaksa menyerahkan tiga peratus daripada nilai makanan dan minuman yang dijual, tanpa mengira sama ada mereka menerima tip atau tidak.

Manakala Bryan Simpson, penganjur kesatuan pekerja Unite dalam industri hospitaliti berkata, pekerja merupakan golongan yang paling mendapat manfaat besar daripada undang-undang tersebut.

Undang-undang ini bagaimanapun belum diperkenalkan di Ireland Utara, kerana Kerajaan negara tersebut kini sedang merangka rang undang-undang hak pekerja berdasarkan maklum balas daripada konsultasi selama tiga bulan yang baru sahaja tamat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN