Korea Utara hantar rakyat bantu tentera Russia

Korea Utara hantar rakyat bantu tentera Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendedahkan Korea Utara menghantar rakyatnya untuk membantu tentera Russia menentang Kyiv.  

Perkembangan itu sekaligus meningkatkan kebimbangan mengenai pakatan antara Moscow dan negara rahsia itu.

Menerusi mesej video hariannya, Zelenskyy mendakwa melihat pakatan semakin meningkat antara Russia dan rejim Korea Utara yang bukan lagi sekadar memindahkan senjata.

“Ia sebenarnya mengenai pemindahan orang dari Korea Utara ke pasukan tentera pendudukan. Jelas sekali dalam keadaan sedemikian, hubungan kami dengan rakan kongsi kami juga perlu dibangunkan. 

“Barisan hadapan memerlukan lebih banyak sokongan,” tambah Zelensky, mengulangi rayuannya agar negara Barat membenarkan Kyiv menggunakan peluru berpandu jarak jauh ke arah wilayah Russia.

Sumber dalaman perisikan Ukraine memberitahu CNN minggu lalu, sebilangan kecil warga Korea Utara bekerja dengan tentera Russia, kebanyakannya untuk membantu dalam bidang kejuruteraan dan bertukar maklumat mengenai penggunaan peluru. 

Menurut sumber itu, sebahagian daripada mereka turut terbunuh dalam insiden pengeboman baru-baru ini di timur Ukraine.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dalam ucapannya Khamis lalu menolak dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai satu lagi penipuan.

Tetapi Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan berkata, minggu lalu ia memantau perkembangan dan percaya dakwaan itu mungkin tepat.

“Kemungkinan besar kematian pegawai dan tentera Korea Utara yang dilaporkan di Ukraine adalah benar, berdasarkan pelbagai keadaan.

“Kami percaya kemungkinan besar akan berlaku penempatan tentera tetap kerana Russia dan Korea Utara telah memeterai perjanjian bersama yang hampir menyamai pakatan tentera. Kami juga sudah bersedia dengan kemungkinan ini,” kata Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-hyun 

Beberapa negara menuduh Pyongyang membekalkan senjata kepada Moscow untuk perang hebatnya di Ukraine, tuduhan yang dinafikan kedua-dua negara walaupun terdapat bukti ketara mengenai pemindahan tersebut.

Semasa lawatan Putin ke ibu negara Korea Utara Jun lalu, kedua-dua negara berjanji menggunakan semua cara yang ada untuk memberikan bantuan ketenteraan segera sekiranya ada antara mereka diserang.

Malah, semasa lawatan itu Putin turut menegaskan kedua-dua negara sedang meningkatkan hubungan ke ‘tahap baharu’.

Dalam ucapan menjelang rundingan antara kedua-duanya, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyuarakan sokongan penuh dan solidaritinya dengan perjuangan kerajaan Russia, tentera dan rakyatnya terhadap perang Moscow di Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN