KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mendakwa tentera Korea Utara akan dihantar ke medan perang Ukraine oleh Rusia seawal hujung minggu ini.
Barat memberi amaran mengenai kehadiran unit Korea Utara di medan perang akan meningkatkan konflik hampir tiga tahun serta memberi impak geopolitik sehingga ke rantau Indo-Pasifik, sekali gus meningkatkan ketegangan diplomatik.
Jurucakap Keselamatan White House, John Kirby berkata, penasihat keselamatan tertinggi dari Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan telah mengadakan pertemuan dan menyatakan ‘kebimbangan serius’ terhadap penglibatan tentera Korea Utara dalam membantu Russia melawan Ukraine.
Kirby berkata, terdapat lebih 3,000 tentera Korea Utara yang dipercayai telah dihantar ke Rusia untuk menjalani persiapan dan latihan.
Amerika Syarikat percaya terdapat beberapa unit tentera Korea Utara yang akan ditempatkan di wilayah Kursk, Rusia, namun tiada kepastian mengenai peranan mereka.
Sementara itu, Zelensky dalam satu hantaran di Telegram berkata, risikan Ukraine menunjukkan ‘tentera Korea Utara pertama akan digunakan Russia di zon konflik’ antara Ahad dan Isnin sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘langkah jelas yang mengeskalasi’ oleh Rusia.
Menurut Ukraine, unit tentera Korea Utara telah dikesan di Kursk dan menjalani latihan selama beberapa minggu di pangkalan timur Rusia dengan kelengkapan pakaian untuk musim sejuk.
Agensi Risikan Utama Ukraine (GUR) menganggarkan sekitar 12,000 tentera Korea Utara, termasuk 500 pegawai dan tiga jeneral, telah dihantar oleh Pyongyang ke Rusia.
Penglibatan Korea Utara di bawah pakatan ketenteraan antara Moscow dan Pyongyang memberi dimensi baharu kepada konflik terbesar Eropah sejak Perang Dunia Kedua yang telah meragut puluhan ribu nyawa, termasuk orang awam.
Sebelum ini, Russia telah menerima bekalan peluru dari Korea Utara, namun penempatan tentera Korea Utara di medan perang bakal menyukarkan lagi konflik yang kini meruncingkan politik antarabangsa dengan kebanyakan negara Barat menyokong Ukraine. -AGENSI











