SEOUL: Tentera Korea Selatan mengumumkan pasukannya bersedia untuk menghadapi sebarang tindak balas selepas Korea Utara mengarahkan tentera di sempadan bersiap melancarkan serangan, susulan pertikaian memuncak mengenai penerbangan dron ke Pyongyang.
Terdahulu, Korea Utara menuduh Seoul menerbangkan dron ke Pyongyang untuk menggugurkan risalah propaganda yang penuh dengan khabar angin dan sampah.
Menerusi satu amaran yang dikeluarkan pada Ahad, Pyongyang menegaskan jika terdapat dron lain dikesan, ia akan menganggap itu sebagai ‘pengisytiharan perang’.
Sebelum ini, tentera Korea Selatan menafikan terlibat dalam aktiviti tersebut, dengan spekulasi tempatan tertumpu kepada kumpulan aktivis di Selatan, yang sekian lama menghantar propaganda dan mata wang Amerika Syarikat ke Utara, menggunakan belon.
Namun, Korea Utara menegaskan Seoul secara rasmi bertanggungjawab dan mengarahkan lapan briged artileri di landasan perang untuk bersedia sepenuhnya melepaskan tembakan dan mengukuhkan pos pemerhatian udara di Pyongyang.
Jurucakap Ketua Turus Bersama Selatan (JSC), Lee Seong-joon berkata, tentera Korea Selatan memantau keadaan itu dengan teliti dan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi provokasi dari Utara.
JSC tidak mengesahkan atau menafikan tentera Seoul bertanggungjawab menghantar dron merentasi sempadan, sebaliknya menggelar dakwaan Utara sebagai tidak tahu malu.
“Utara tidak dapat mengesahkan asal usul dron di langit Pyongyang, tetapi meletakkan kesalahan pada Selatan, sementara mereka berdiam diri mengenai penghantaran dron ke selatan sebanyak 10 kali.
“Ini hanyalah dakwaan yang tidak tahu malu,” kata jurucakap Lee semasa sidang akhbar.
Pyongyang mendakwa dron propaganda menceroboh ruang udaranya sebanyak tiga kali dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan adik perempuan Kim Jong Un, Kim Yo Jong mengancam akibat buruk jika tindakan itu tidak dihentikan.
Beliau mengeluarkan tiga kenyataan amaran sama, menggesa tentera Korea Selatan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah pelanggaran berulang terhadap ruang udara Korea Utara.- AFP










