WASHINGTON: Kadar pertambahan pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada tahap tertinggi dalam tempoh enam bulan pada September lalu, dengan kadar pengangguran jatuh 4.1 peratus.
Ini menunjukkan ekonomi yang lebih kukuh, yang mungkin tidak memerlukan pemotongan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan (Fed) untuk sepanjang tahun ini.
Laporan daripada Jabatan Tenaga Kerja AS mendedahkan peningkatan yang lebih besar daripada jangkaan adalah dalam sektor bukan perladangan.
Kadar gaji juga meningkat dengan pesat pada bulan lalu, ditambah dengan ekonomi mencatatkan 72,000 pekerjaan lebih banyak bagi bulan Julai dan Ogos berbanding anggaran sebelumnya.
Laporan ini mengikuti pembetulan data akaun kebangsaan tahunan minggu lalu yang menunjukkan ekonomi berada dalam keadaan lebih baik berbanding anggaran terdahulu, dengan peningkatan dalam kadar pertumbuhan, pendapatan, simpanan, dan keuntungan korporat.
Pengerusi Fed, Jerome Powell, turut mengakui situasi ekonomi yang lebih baik ini dan menolak spekulasi pasaran mengenai potongan kadar faedah setengah mata peratusan pada bulan November.
“Ini bukan jawatankuasa yang tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah dengan cepat,” kata beliau.
Sektor perkhidmatan makanan dan minuman mencatat peningkatan tertinggi dengan penambahan 69,000 pekerjaan, manakala sektor kesihatan bertambah 45,000 pekerjaan.
Jumlah pekerjaan bukan perladangan meningkat sebanyak 254,000 pada bulan September, yang merupakan peningkatan terbesar sejak Mac lalu.
Angka ini jauh melebihi jangkaan ahli ekonomi yang menjangka hanya 140,000 pekerjaan secara purata, peningkatan pekerjaan bulanan dalam tempoh tiga bulan terakhir kini berada pada tahap 186,000 berbanding 140,000 pada bulan Ogos. -AGENSI











