BAITULMUQADDIS: Israel akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran yang disifatkan sebagai ‘membawa maut’ dan ‘mengejutkan’, kata Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.
Israel malah bertekad meneruskan operasi besar-besaran di utara Gaza dan serangan darat di Lubnan.
“Serangan kami akan membawa maut, tepat dan mengejutkan. Mereka tidak akan faham apa yang berlaku dan bagaimana serta akan melihat hasilnya.
“Barang siapa yang menyerang kami, nescaya dia akan dicederakan dan mendapat bayaran setimpal,” katanya semasa berucap di depan tentera Israel.
Selepas tujuh minggu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akhirnya membuat panggilan telefon pertama dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre berkata, panggilan selama 30 minit itu dibuat bagi membincangkan tentang bagaimana Israel akan bertindak balas terhadap serangan Iran, baru-baru ini.
Iran melancarkan 180 peluru berpandu terhadap Israel sejak 1 Oktober lalu, dengan AS membantu menangkis serangan tersebut.
Biden menegaskan beliau tidak akan menyokong serangan balas terhadap tapak yang berkaitan dengan program nuklear Teheran.
LUBNAN BERAKHIR SEPERTI GAZA
Selasa lalu, Netanyahu berkata, Lubnan akan menghadapi nasib sama seperti Gaza jika rakyatnya tidak bangkit menentang Hezbollah.
Menerusi sebuah rakaman video di Maroun A-Ras, tiga askar Israel dilihat menaikkan bendera di atas timbunan serpihan bangunan.
Seorang tentera bercakap dalam Bahasa Ibrani dan merujuk kepada perkampungan Avivim, Israel yang berdekatan.
Video itu mengikuti tindakan serupa lain yang berlaku sepanjang serangan darat Israel di Gaza.
Rabu lalu, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan Israel menyebabkan empat orang maut dan 10 yang lain cedera di sebuah hotel yang melindungi mangsa yang kehilangan tempat tinggal di bandar Wardaniyeh, selatan Lubnan.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Israel melancarkan kempen udara di seluruh bahagian besar Lubnan, yang kononnya menyasarkan lokasi pelancar roket Hezbollah.
Beberapa siri serangan telah meragut nyawa Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dan kebanyakan komander tertingginya.
Tentera Israel merekodkan Hezbollah melancarkan lebih 12,000 roket, peluru berpandu dan dron terhadap Israel, tahun lalu.
GAZA MASIH BERGOLAK
Dalam perkembangan lain, di utara Gaza, berlaku pertempuran hebat di Jabaliya, sebuah kem pelarian bandar sejak perang 1948.
Seluruh kawasan utara, termasuk di kota Gaza mengalami kemusnahan teruk dan sebahagian besarnya diasingkan oleh tentera Israel, sejak akhir tahun lalu.
Di Gaza, penduduk Jabaliya berkata, ribuan orang terperangkap di rumah mereka sejak operasi bermula Ahad lalu, dengan bunyi jet dan dron Israel bergema dan tentera bertempur dengan pejuang Hamas di jalanan.
“Ia seperti neraka. Kami tidak boleh keluar. Dron berada di mana-mana dan akan menembak sesiapa sahaja. Anda tidak boleh membuka tingkap pun,” luah Mohamed Awda yang tinggal bersama ibu bapa dan enam adik beradiknya yang lain.
Penduduk Jabaliya bimbang Israel berhasrat untuk mengurangkan bilangan penduduk di utara dan menjadikannya sebagai zon tentera tertutup atau dijadikan sebagai penempatan Yahudi.
Menurut penduduk, Israel menyekat semua jalan kecuali lebuh raya utama yang menghala ke selatan dari Jabaliya. -AP










