Israel ‘kurung’ 400,000 rakyat Palestin di utara Gaza

Israel ‘kurung’ 400,000 rakyat Palestin di utara Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel memutuskan akses ke utara Gaza selama lebih seminggu serta membiarkan puluhan ribu rakyat Palestin hidup tanpa bekalan makanan dan air.

Dalam tempoh itu, rejim juga menghalang sebarang akses bantuan masuk ke bahagian utara dan pada masa sama melancarkan serangan darat serta udara secara besar-besaran, termasuk di kem Jabalia sehingga mengorbankan puluhan nyawa.

Tentera Israel secara kejam memisahkan utara Gaza dari Kota Gaza menggunakan kenderaan berperisai, dron dan penghadang pasir.

Israel mendakwa tindakannya di kem Jabalia bertujuan untuk menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula dan membina kembali keupayaan ketenteraan mereka.

Selain itu, rejim juga berhasrat untuk menghapuskan semua bentuk penentangan bersenjata Palestin di utara Gaza, yang dianggap sebagai kubu kumpulan pejuang berkenaan.

Serangan itu adalah sebahagian daripada usaha Israel untuk melemahkan kawalan operasi Hamas dan mengurangkan kemampuan pejuang untuk bertindak balas.

FASA PALING SUKAR

Laporan daripada penduduk di utara Gaza mendedahkan fasa ini adalah tempoh paling sukar sepanjang setahun konflik ngeri di wilayah itu.

Menurut koresponden Al Jazeera dan Doctors Without Borders, penembak tepat Israel membunuh orang awam yang cuba melarikan diri, walaupun mereka mengeluarkan arahan pemindahan.

“Ramai mangsa adalah kanak-kanak dan wanita, yang tiba di hospital sama ada dalam keadaan mengerikan atau berlumuran darah,” lapor Hani Mahmoud dari Al Jazeera di tengah Gaza.

Sebahagian penduduk memutuskan untuk tidak berpindah kerana enggan mempercayai ‘zon selamat kemanusiaan’ yang ditetapkan Israel.

Ketua Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Mounir al-Bursh berkata, serangan Israel mengakibatkan sekurang-kurangnya 200 kematian di utara dalam tempoh seminggu lalu.

Puluhan ribu keluarga masih terkurung di dalam kem Jabalia, sementara Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) memaklumkan sekitar 400,000 orang terperangkap di utara Gaza.

Kumpulan perubatan dan ambulans juga dilaporkan menjadi sasaran rejim.

TAKTIK PEMBERSIHAN ETNIK

Kolumnis akhbar Haaretz di Israel, Gideon Levy memberitahu Al Jazeera, tujuan kerajaan Tel Aviv jelas mahu membersihkan etnik di utara Gaza dengan mengusir semua rakyat Palestin.

“Israel sendiri mengisytiharkan Hamas pada dasarnya sebagai pasukan tentera yang sudah musnah.

“Jadi mengapa ia meneruskan serangan? Ia kerana Israel ingin melihat bahagian utara Gaza kosong daripada semua penduduk Palestin,” katanya.

Israel berundur dari Gaza pada 2005 tetapi mengekalkannya di bawah sekatan darat, udara dan laut sejak 2007.

Pada tahun terakhir peperangan di wilayah itu, Israel berulang kali mendakwa ia tidak ingin menduduki semula Gaza.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencadangkan penubuhan wilayah seperti Tebing Barat di Gaza, dengan menguatkuasakan kawalan tentera dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) atau entiti selain Hamas mengendalikan urusan awam.

Levy berkata, sehingga kini matlamat sebenar Israel masih tidak jelas, dan rejim sengaja mengambil kesempatan ketika tumpuan dunia terarah kepada perang di Lubnan.

“Di sebalik perang di Lubnan, ketika seluruh dunia memberikan perhatian kepada Lubnan dan mungkin serangan Israel ke Iran, Israel mengambil kesempatan melakukan kekejaman di Gaza tanpa sebarang matlamat ketenteraan,” katanya.

WILAYAH YANG DIDUDUKI

Sehingga kini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amnesty International dan organisasi bantuan lain masih merujuk Gaza sebagai wilayah yang diduduki.

Cubaan Israel untuk menduduki Gaza sama seperti Tebing Barat, secara ketenteraan atau fizikal akan melanggar undang-undang antarabangsa.

Di Tebing Barat, penempatan haram Israel diperluaskan secara berterusan, rakyat Palestin disekat akses ke tanah mereka dan pelbagai pelanggaran lain termasuk serbuan serta pembunuhan.

Lebih 750,000 penempatan haram Israel diwujudkan di atas tanah Palestin yang diambil secara paksa.

Undang-undang antarabangsa menetapkan kuasa pendudukan mesti memperkenalkan sedikit perubahan yang mungkin dan tidak mengubah status quo wilayah berkenaan.

Kuasa pendudukan juga tidak seharusnya memindahkan rakyat mereka ke dalam wilayah yang diduduki.

Selain itu, pihak yang menjajah juga diwajibkan mematuhi peraturan seperti melindungi harta penduduk dan membenarkan aliran bantuan kemanusiaan, sedangkan perkara itu tidak dilakukan oleh Israel di utara Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN