LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menzahirkan komitmen teguh terhadap keselamatan Israel serta perlindungan orang awam kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, susulan serangan peluru berpandu Iran.
Jurucakap pejabat Starmer memaklumkan Perdana Menteri menghubungi Netanyahu pada petang Selasa dan kedua-dua pemimpin membincangkan situasi yang semakin meruncing di Asia Barat.
Starmer mengecam serangan Iran terhadap Israel dengan ‘sekeras-kerasnya,’ menurut jurucakap tersebut.
Serangan peluru berpandu balistik oleh Iran pada Selasa adalah sebagai tindak balas terhadap kempen Israel terhadap sekutu Iran, Hezbollah di Lubnan, dan Israel berjanji akan memberikan ‘tindak balas yang menyakitkan’ terhadap musuhnya.
Siren amaran dibunyikan di seluruh Israel dan letupan kedengaran di Jerusalem serta Lembah Sungai Jordan, sementara rakyat Israel bergegas ke tempat perlindungan bom.
Wartawan Reuters melaporkan melihat peluru berpandu dipintas di ruang udara Jordan yang berjiran dengan Israel.
Starmer turut berbual dengan Raja Abdullah dari Jordan, dengan kedua-dua pemimpin menekankan keperluan segera untuk gencatan senjata di Lubnan dan Gaza.
“Perdana menteri menyatakan beliau akan bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa dan melakukan segala yang mungkin untuk meredakan ketegangan serta mengusahakan penyelesaian diplomatik,” kata jurucakap itu. -AGENSI