Australia labur berbilion dolar tingkatkan kapasiti kapal nuklear

Australia labur berbilion dolar tingkatkan kapasiti kapal nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia mengumumkan akan melabur berbilion dolar dalam tempoh dua dekad akan datang bagi membangunkan sebuah limbungan kapal di Australia Barat sebagai hab penyelenggaraan untuk armada kapal selam berkuasa nuklear. 

Rancangan itu terkandung di bawah perjanjian tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau AUKUS.

Menurut Menteri Pertahanan, Richard Marles kerajaan akan membuat pelaburan awal sebanyak AS$85 juta (RM365 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menaik taraf kemudahan di limbungan kapal Henderson berhampiran Perth.

“Limbungan Kapal Pertahanan di Henderson akan mengoptimumkan industri pembinaan kapal dan penyelenggaraan kapal Australia, sambil menyokong pembinaan kapal laut berterusan di Australia Barat serta laluan kapal selam berkuasa nuklear Australia,” kata Marles dalam kenyataan.

Selain itu, fasiliti ini juga akan terlibat dalam pembinaan kapal pendarat baharu untuk tentera darat Australia serta frigat serbaguna baharu untuk tentera laut.

Tambah Marles, limbungan ini akan menjadi asas kepada pelaburan berjumlah puluhan bilion dolar dalam keupayaan pertahanan sepanjang 20 tahun akan datang serta mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan tempatan.

Perjanjian pertahanan AUKUS yang ditandatangani pada 2021 antara Australia, Britain, dan Amerika Syarikat, menyaksikan Sydney membeli sebanyak lima kapal selam berkuasa nuklear dari Washington pada awal 2030-an sebelum bersama-sama membina dan mengendalikan kelas kapal selam baharu satu dekad kemudian.

AUKUS akan menjadi kali pertama Washington berkongsi teknologi pendorongan nuklear sejak ia dilakukan dengan Britain pada 1950-an, meskipun kapal selam ini tidak akan dilengkapi dengan senjata nuklear. 

Perjanjian ini dijangka menelan kos sehingga AS$245.8 bilion (RM1.05 trilion) menjelang 2055, menurut anggaran kerajaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN