NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) dilanda panik setelah terdapat kebocoran dokumen berkaitan Agensi Perisikan Geospatial Kebangsaan (NGA) mengenai persiapan Israel untuk menyerang Iran.
Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai Amerika dan Israel selepas maklumat sensitif tersebut diterbitkan.
NGA berfokus kepada penyediaan perisikan geospatial yang dapat dikumpulkan melalui satelit atau pesawat untuk Jabatan Pertahanan AS.
Dokumen yang disiarkan oleh Middle East Spectator, sebuah saluran Telegram yang memberi tumpuan kepada berita Asia Barat, dengan maklumat tersebut didakwa berasal daripada seorang pemberi maklumat di Pentagon yang berkongsi dalam kumpulan Telegram persendirian.
Walaupun mereka tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen itu, namun Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike Johnson, mengesahkan komuniti perisikan Amerika sedang menyiasat insiden ini.
“Kebocoran ini sangat membimbangkan. Beberapa dakwaan serius telah dibuat, siasatan sedang dijalankan, dan saya akan diberi taklimat mengenainya dalam beberapa jam,” katanya kepada CNN.
Dokumen ini ditandakan sebagai rahsia besar dan diberi label FVEY (Five Eyes), yang bermaksud ia hanya boleh diakses oleh pihak berkuasa di AS, United Kingdom, Kanada, Australia, dan New Zealand.
Menurut dokumen yang bocor tersebut, Israel merancang untuk melancarkan serangan kilat ke atas Iran menggunakan peluru berpandu jelajah ‘Rocks dan Rampage’ yang canggih, dengan tujuan untuk memusnahkan pertahanan dalaman serta fasiliti nuklear Iran.
Peluru berpandu Rocks yang dibina oleh Pasukan Pertahanan Israel mampu mengelak radar dan mempunyai kepala peledak seberat setengah tan.
Peperangan yang berterusan di Gaza telah mengakibatkan lebih 42,000 kematian, mencetuskan huru-hara dalam kalangan orang awam yang terpaksa melarikan diri. – AGENSI










