2,752 pegawai, anggota JSPT pantau trafik sempena Deepavali

2,752 pegawai, anggota JSPT pantau trafik sempena Deepavali

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangkakan pergerakan kenderaan ke Pantai Timur, Utara dan Selatan akan meningkat sempena cuti perayaan Deepavali Khamis ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pergerakan kenderaan di Pantai Barat juga dijangka meningkat dengan ketara seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, seramai 2,752 orang pegawai dan anggota JSPT akan ditempatkan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas sepanjang tempoh itu.

“Tindakan dengan keutamaan kepada elemen advokasi, penyuraian aliran trafik dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pengguna jalan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan semua pengguna jalan khasnya kenderaan berat atau perdagangan supaya memastikan kenderaan dalam keadaan terbaik serta mematuhi segala peraturan dan bertimbang rasa dengan pengguna kenderaan lain.

Semalam, rangkaian lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (Plus) dijangka mengalami peningkatan trafik membabitkan 2.1 juta kenderaan sehari.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah berkata, keadaan itu jangka berlangsung empat hari bermula hari ini.

Kesesakan dijangka meningkat sebanyak 13.5 peratus iaitu 2.1 juta trafik membabitkan waktu puncak berbanding 1.85 juta pada hari-hari biasa.

Plus juga akan mengaktifkan laluan Smart Lane selain memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di rangkaian lebuh raya kendaliannya sehingga 4 November ini.

Bagaimanapun, pengecualian diberi jika berlaku kemalangan, kerja-kerja kecemasan atau pembaikan kritikal yang berisiko kepada keselamatan pengguna lebuh raya yang perlu diselenggarakan segera di 21 lokasi tumpuan dan kritikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN