26 negara termiskin bergelut hutang tertinggi - Utusan Malaysia

26 negara termiskin bergelut hutang tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Laporan terkini Bank Dunia menyenaraikan 26 negara termiskin dengan jumlah hutang tertinggi sejak 2006 dan dikhuatiri semakin terdedah kepada bencana alam serta kejutan lain.

Laporan itu mendapati ekonomi negara yang menempatkan 40 peratus penduduk termiskin di dunia itu secara purata lebih miskin hari ini berbanding sebelum penularan Covid-19, walaupun seluruh dunia sudah pulih daripada wabak itu dan meneruskan trajektori pertumbuhannya.

Dikeluarkan seminggu sebelum mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa di Washington, laporan itu mengesahkan kemunduran besar kepada usaha membasmi kemiskinan tegar.

Laporan itu turut menggariskan usaha Bank Dunia tahun ini untuk mengumpul AS$100 billion (RM429.69 billion) bagi menambah dana pembiayaan kepada golongan termiskin di dunia menerusi Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA).

“Sebanyak 26 ekonomi termiskin yang dikaji mempunyai pendapatan per kapita tahunan kurang AS$1,145 ( RM4,919) dan semakin bergantung kepada geran IDA.

“Pinjaman kadar faedah juga hampir sifar kerana pembiayaan pasaran sebahagian besarnya sudah kering.

“Purata nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka sebanyak 72 peratus berada pada paras tertinggi dalam tempoh 18 tahun dan separuh daripada kumpulan itu sama ada mengalami masalah hutang atau berisiko tinggi,” katanya.

Dua pertiga daripada 26 negara termiskin itu sama ada terlibat dengan konflik bersenjata atau menghadapi kesukaran mengekalkan ketenteraman kerana kerapuhan institusi dan sosial. 

“Keadaan ini menghalang pelaburan asing dan komoditi eksport yang mendedahkan mereka kepada kitaran peningkatan dan penurunan yang kerap.

“Ketika kebanyakan dunia hanya berundur daripada negara termiskin, IDA telah menjadi talian hayat mereka.

“Sejak lima tahun lalu, badan itu telah mencurahkan sebahagian besar sumber kewangannya ke dalam 26 ekonomi berpendapatan rendah, memastikan mereka bertahan melalui kemerosotan bersejarah yang mereka alami,” kata Ketua Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill dalam kenyataan.

IDA biasanya diisi semula setiap tiga tahun dengan sumbangan daripada negara pemegang saham Bank Dunia. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN