HARARE: Zimbabwe memberi kelulusan untuk membunuh 200 ekor gajah di negara ini untuk diberi makan kepada penduduknya yang kebuluran akibat bencana kemarau terburuk dalam tempoh berpuluh-puluh tahun.
Jurucakap Pihak Berkuasa Taman dan Hidupan Liar Zimbabwe, Tinashe Farawo memberitahu CNN, pihaknya terpaksa mengambil langkah itu selepas hampir separuh daripada populasi negara ini menghadapi risiko kelaparan.
“Sebelum ini, Namibia juga membunuh gajah dan haiwan liar lain bagi mengatasi masalah kekurangan makanan akibat kemarau berpanjangan,” katanya.
Zimbabwe memiliki 84,000 ekor gajah dan merupakan negara kedua di dunia dengan bilangan terbanyak haiwan itu selepas Botswana.
Menteri Alam Sekitar, Sithembiso Nyoni memberitahu Ahli Parlimen minggu lalu, negaranya mempunyai lebih banyak gajah daripada yang diperlukan dan hutan yang ada tidak menampung bilangan tersebut.
Jelas Nyoni, bilangan gajah yang berlebihan menyebabkan kekurangan sumber makanan untuk rakyat, yang seterusnya menyebabkan konflik antara manusia dan hidupan liar di negara ini.
“Kami sedang berbincang dengan Pihak Berkuasa Taman dan Hidupan Liar Zimbabwe dan beberapa komuniti untuk mengikut jejak langkah Namibia.
“Kami akan meminta bantuan golongan wanita untuk mengeringkan daging gajah dan membungkusnya untuk diagihkan kepada penduduk yang kebuluran,” jelasnya.
Di Namibia, sebanyak 700 haiwan liar termasuk gajah disembelih bulan lalu, membolehkan 56,699 kilogram daging diagihkan kepada orang ramai yang menghadapi masalah kekurangan makanan.
Tindakan tersebut mengundang kritikan daripada aktivis hak haiwan dan pakar pemuliharaan alam sekitar. – AGENSI











