KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar lelaki ditahan polis selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah pasar di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita Melayu kira-kira pukul 1 pagi pada 14 Oktober lalu.
Katanya, pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Melayu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar berkenaan.
“Lelaki itu memaklumkan melihat seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lelaki di dalam kawasan pasar berkenaan.
“Pelajar perempuan itu kemudian memberitahu pengadu bahawa dia telah dirogol lelaki terbabit sebelum mengaku sebagai teman wanita kepada lelaki berkenaan,” katanya hari ini.
Azli berkata, permohonan reman terhadap suspek berusia 16 tahun dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau berkata, dari 1 hingga 14 Oktober lalu, polis membuka enam kertas siasatan berkaitan kes seksual di daerah ini. –UTUSAN











