SEREMBAN: Memori dijajah Jepun masih terpahat dalam memori seorang warga emas yang berusia lebih satu abad sehingga mampu menyanyikan lagu patriotik tentera Jepun dengan lancar.
Reaksi spontan Baridah Mohd. Din, 105 tahun, yang mesra disapa ‘Uwan’ menyanyikan lagu berbahasa Jepun itu membuatkan orang terhibur meskipun dalam keadaan dirinya yang sudah banyak lupa dan pendengaran merosot.
Baridah yang dikurniakan 10 anak dengan 35 cucu, 66 cicit kini dijaga oleh anak bongsunya Rosidah Md, Din, 55, yang setia menemaninya.
Rosidah berkata, lirik lagu patriotik Jepun itu begitu melekat dalam memori ibunya berbanding pengalaman lain yang dilalui ketika itu.
“Kalau tanya macam mana hidup pada zaman penjajahan Jepun, banyak yang emak sudah tak ingat, melainkan lagu Jepun itu.
“Katanya, lagu itu dinyanyikan rakyat kita seperti lagu Negaraku di sekolah dan mungkin itu sebabnya emak hafal dan ingat sampai sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siliau, Rantau di sini.
Bercerita keadaan kesihatan ibunya, Rosidah berkata, ibunya tidak menghidap sebarang penyakit kronik dan masih boleh memberikan respon apabila ditanya.
“Emak tidak nyanyuk, tetapi sudah banyak lupa. Peningkatan usia juga menyebabkan emak tidak lagi kuat seperti dahulu dan perlu bergerak menggunakan kerusi roda atau dibantu anak-anak,” katanya.
Meskipun begitu, Rosidah bersyukur kerana masih berpeluang menjaga dan menatap wajah wanita yang melahirkannya dan kini usianya sudah lebih 100 tahun.
Rosidah turut menyifatkan ia sebagai satu rezeki kerana dapat terus berbakti kepada ibunya itu. – UTUSAN











