KAHERAH: Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran peningkatan keganasan di Tebing Barat akibat perang Israel dan kumpulan pejuang Hamas, berisiko mengheret wilayah itu ke ambang konflik yang sama dengan situasi di Gaza.
Diplomat Tertinggi EU, Josep Borrell berkata, keganasan itu boleh menjadikan Tebing Barat sebagai ‘Gaza baharu’.
Beliau berkata, Israel sedang membuka barisan baharu dengan objektif jelas untuk mengubah Tebing Barat menjadi Gaza baharu, dengan keganasan yang semakin meningkat dan mendorong provokasi untuk bertindak balas secara paksa.
Borrell turut menuduh anggota radikal dalam kerajaan Israel berusaha menghalang untuk mewujudkan negara Palestin pada masa depan, yang dianggap sebagai ancaman oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan beberapa anggota Kabinetnya.
“Israel juga tanpa segan silu mengatakan kepada dunia satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian aman adalah dengan menggabungkan Tebing Barat dan Gaza.
“Tanpa tindakan, Tebing Barat akan menjadi Gaza yang baharu dan Gaza juga akan menjadi Tebing Barat yang baharu, dengan wujudnya penempatan haram,” katanya pada mesyuarat peringkat menteri Liga Arab di Kaherah.
Serangan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat mencapai rekod tertinggi pada tahun lalu, menurut kumpulan hak asasi, Yesh Din.
Kira-kira 490,000 rakyat Israel tinggal secara haram di Tebing Barat, bersama tiga juta penduduk Palestin.
Sejak perang Gaza bermula, tentera Israel atau peneroka membunuh sekurang-kurangnya 662 rakyat Palestin di Tebing Barat.- AF











