YANGON: Jumlah mangsa yang maut akibat Taufan Yagi di Myanmar meningkat kepada 293 orang dan 89 yang lain dilaporkan masih hilang.
Sementara itu, hampir 270,000 hektar sawah padi serta tanaman lain ditenggelamkan air dan lebih 100,000 haiwan ternakan mati.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengeluarkan amaran seramai 630,000 orang mungkin memerlukan bantuan di Myanmar selepas Taufan Yagi melanda.
Hujung minggu lalu, junta Myanmar mengeluarkan rayuan luar biasa untuk bantuan asing bagi menangani bencana terbabit.
Ketua Junta, Min Aung Hlaing turut mengarahkan semua pihak melaksanakan tugas pemulihan bagi memastikan keadaan kembali normal dalam tempoh enam bulan.
Rabu lalu, sebuah kapal tentera laut India menghantar bantuan termasuk makanan kering, pakaian, ubat-ubatan dan khemah di pelabuhan Thilawa.
Yagi melanda utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar sejak lebih seminggu lalu, menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang meragut 613 nyawa di seluruh rantau itu.











