HANOI: Sekurang-kurangnya 181 orang dilaporkan terkorban dan 141 lagi hilang akibat taufan Yagi, menurut agensi pengurusan bencana kerajaan.
Paras air Sungai Merah di Hanoi pula dijangka kekal pada tahap yang hampir sama sehingga awal Jumaat ini, menurut agensi cuaca kerajaan.
Beberapa bahagian di bandar raya tersebut dijangka terus dilanda banjir.
Vietnam kini dilanda banjir paling teruk dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Yagi pada Sabtu lalu.
“Paras banjir yang tinggi telah menyebabkan kawasan tepi sungai dan kawasan rendah ditenggelami air, menghakis benteng dan mengancam beberapa bahagian di Hanoi serta wilayah utara yang lain,” kata agensi tersebut.
Sebelum ini, ribuan penduduk yang tinggal berhampiran sungai dipindahkan apabila paras airnya meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh 20 tahun.
Di utara Hanoi, insiden tanah runtuh yang mengorbankan nyawa masih berlaku di kawasan pergunungan, menurut laporan media tempatan. -AGENSI