PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki meskipun berjaya meraih kejuaraan di Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2024 di Seoul, Korea Selatan, semalam.
Mereka mengambil masa selama 59 minit untuk membenam gandingan China dan juga beregu No.9 dunia, Guo Xin Wa-Li Qian 17-21, 21-13, 21-13 dalam perlawanan akhir.
“Kami kalah pada set pertama, tetapi kami tidak berputus asa, jurulatih banyak memberi keyakinan kepada kami.
“Saya sendiri banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya saya buat dan kekurangan ini perlu diperbaiki, terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan terutamanya rakyat Malaysia yang sanggup datang ke stadium menyaksikan perlawanan kami,” ujarnya.

Kejayaan tersebut membolehkan Tang Jie-Ee Wei membawa pulang pingat emas dan wang tunai bernilai AS$33,180 (RM143,000).
Kemenangan itu juga merupakan kejayaan sulung mereka dalam kejohanan berstatus Super 500 sejak mula digandingkan pada Disember 2022, mereka juga pernah merangkul dua gelaran Super 300 di Orleans Masters dan Terbuka Taiwan pada tahun lalu.
Sementara itu, beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terlepas peluang untuk menamatkan kemarau gelaran selepas mereka tumpas kepada pasangan tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong.
Gandingan No. 9 dunia itu tunduk menerusi kekalahan straight set kepada Na Eun-Hye Jeong 12-21, 11-21.
Kali terakhir Pearly-Thinaah merangkul kejuaraan ialah pada Terbuka Perancis, dua tahun lalu dan selepas itu, beregu Malaysia tersebut kerap dilanda kecederaan serta bergelut untuk mendapatkan kembali rentak permainan mereka.
Walaupun mereka tewas, kejayaan melangkah ke perlawanan akhir pada kejohanan berstatus Super 500 itu memberi petanda mereka kini bersedia mengharungi cabaran mendatang.
Selepas ini, Terbuka Hong Kong yang bermula 10 September dan kemudian, Terbuka China yang merupakan kejohanan Super 1,000 menanti Pearly-Thinaah.-UTUSAN










