BAM timbang ganjaran khas emas Sukan Asia

BAM timbang ganjaran khas emas Sukan Asia

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia mempertimbangkan pemberian ganjaran khas kepada pemain negara yang berjaya menamatkan penantian 20 tahun untuk meraih pingat emas badminton pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu, bagaimanapun masih belum dibincangkan secara rasmi di peringkat badan induk berkenaan, namun mengakui cadangan tersebut sebagai satu idea yang baik.

Menurut beliau, BAM juga akan berbincang dengan penaja-penaja yang ada bagi melihat kemungkinan menyediakan insentif kepada pemain yang berjaya membawa pulang emas dari temasya berkenaan.

“Kita akan tengok kemampuan pada masa itu, tetapi belum ada apa-apa perbincangan, saya fikir ia satu idea yang baik. Kita juga akan bercakap dengan penaja-penaja yang ada di BAM. Biasanya mereka akan bagi insentif.

“Mungkin kita boleh bercakap dengan mereka dan kemudian BAM juga lihat apa yang kita mampu, terutama bagi pemain kita yang menang pingat emas,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM di sini, semalam.

Kali terakhir wakil negara membawa pulang pingat emas adalah menerusi beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Temasya Doha 2006 sekali gus menjadikan penantian tersebut memasuki tempoh 20 tahun.

Tengku Zafrul memberitahu, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan para pemain sebelum mereka berangkat ke Sukan Asia, Isnin ini dan berharap mereka akan fokus serta melakukan yang terbaik untuk negara.

Mengulas pelantikan ketua jurulatih beregu campuran, beliau menjelaskan, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan muktamad.

“Saya rasa sasaran kita adalah calon dalam kalangan jurulatih tempatan, tetapi, tugas ini tidak mudah, kita masih mencari calon yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut persiapan Sukan SEA turut menjadi perhatian, apabila Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu akan terus memantau perkembangan pemain sebelum memilih barisan terbaik bagi menghadapi temasya itu, tahun depan.

“Kita akan pilih pemain terbaik yang ada pada masa itu. MSN juga sudah menetapkan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan.

“Semua pemain kita menjalani latihan sepenuh masa dan Sukan SEA adalah antara pencapaian penting, walaupun sasaran utama kita adalah Olimpik Los Angeles 2028,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×