PETALING JAYA: Penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli menggesa supaya penswastaan kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) dikaji semula.
Menurutnya, model penswastaan yang dilaksanakan kini tidak membawa perubahan positif yang diharapkan dan sering kali menyebabkan masalah kewangan yang serius kepada pasukan-pasukan tempatan.
“Penswastaan kelab mungkin dilihat sebagai penyelesaian untuk masalah kewangan tetapi kenyataannya, banyak pasukan masih menghadapi cabaran kewangan yang berterusan.
“Ini menunjukkan bahawa model penswastaan perlu dinilai semula untuk memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan dan meningkatkan prestasi liga kita.”
Masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukan Kedah turut menjadi tumpuan di mana pasukan yang terkenal dengan pencapaian mereka dalam bola sepak Malaysia ini dilaporkan mengalami kesulitan kewangan yang serius, yang menjejaskan prestasi mereka di atas padang.

Pekan juga mengulas mengenai kenyataan daripada Menteri Besar Kedah,Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengkritik sistem bola sepak Malaysia sebagai rosak.
“Kenyataan beliau mencerminkan ketidakpuasan hati banyak pihak terhadap sistem sedia ada. Namun, sebelum menyalahkan sistem, kita perlu menilai semula struktur dan pengurusan yang ada, termasuk bagaimana penswastaan dilaksanakan dan bagaimana ia mempengaruhi kewangan pasukan.
“Kita tidak perlu untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya perlu duduk bersama dan berbincang tentang cara penyelesaian untuk masalah ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa reformasi menyeluruh diperlukan untuk memastikan sistem bola sepak Malaysia dapat berfungsi dengan lebih baik dan menyokong pasukan-pasukan tempatan dengan lebih efektif.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa sistem bola sepak di negara ini gagal selepas beberapa pasukan tidak mampu bersaing sehingga mereka berdepan dengan masalah kewangan.
Menurutnya, kelab-kelab bola sepak di negeri ini juga didakwa tidak mampu mengikuti pengurusan yang dibuat oleh satu pasukan.-UTUSAN










