HAIFA: Israel berdegil mahu meneruskan operasi di Lubnan sehingga selamat untuk mangsa yang dipindahkan.
Namun Timbalan Ketua Hezbollah, Naim Qassem menegaskan, tindakan itu hanya akan menyebabkan lebih banyak perpindahan penduduk Israel sendiri.
Israel dilaporkan terpaksa menutup sekolah, menyekat perhimpunan di utara dan mengarahkan pihak hospital untuk memindahkan pesakit dan kakitangan ke kawasan perlindungan.
Kebanyakannya dibawa ke lokasi kemudahan bawah tanah yang direka untuk menahan tembakan roket.
Puluhan ribu penduduk di sekitar kawasan sempadan juga diarahkan untuk tinggal berhampiran tempat perlindungan bom dan bilik selamat.
Siren serbuan udara juga sentiasa dibunyikan di Israel, sejak kelmarin.
Menurut tentera Israel, kira-kira 150 roket, peluru berpandu jelajah dan dron ditembak ke Israel semalaman, kebanyakannya dipintas oleh pertahanan udara.
Beberapa bangunan turut dibedil termasuk sebuah rumah yang rosak teruk berhampiran bandar Haifa.
Pasukan penyelamat bergegas merawat mangsa cedera, namun tiada kematian yang dilaporkan.
Hezbollah berkata, pasukannya menyerang berek dan satu lagi kedudukan Israel dengan skuad dron serangan dan melancarkan roket di kemudahan industri ketenteraan sebagai tindak balas awal terhadap serangan peranti minggu lalu.
Seorang pegawai dalam Kumpulan Pejuang Islam di Iraq (IRI) yang disokong Iran berkata, mereka turut melancarkan serangan peluru berpandu jelajah dan dron letupan di Israel ketika waktu subuh pada Ahad, sebagai sebahagian daripada fasa baharu dalam barisan sokongannya dengan Lubnan.
“Peningkatan konflik di Lubnan bermakna peningkatan konflik dari Iraq,” kata pegawai itu.
MALAPETAKA BAHARU
Ketika berucap pada pengebumian komander kumpulan Hezbollah, Ibrahim Aqil yang terbunuh di Beirut, Naim menegaskan Israel sedang berusaha untuk melumpuhkan kumpulan itu, tetapi tidak akan berjaya.
“Kami telah memasuki fasa baharu, yang tajuknya ialah pertempuran terbuka terhadap permusuhan lama,” katanya.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, operasi ketenteraan itu akan diteruskan sehingga situasi selamat untuk mereka yang dipindahkan di sebelah sempadannya kembali.
Katanya, Israel juga mahu menetapkan pentas baharu untuk konflik yang panjang itu selepas Hezbollah yang disokong Iran berikrar mahu terus berjuang sehingga gencatan senjata berjaya dicapai di Gaza.
Ketua Turus Am Israel, Herzi Halevi dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen berkata, pasukannya sudah bersedia untuk peringkat pertempuran seterusnya dalam beberapa hari akan datang, tetapi tidak menyatakan apa yang akan berlaku.
“Kami akan melakukan apa sahaja untuk menghapuskan ancaman terhadap Israel,” katanya.
Penyelaras khas Pertubuhan nagsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, Jeanine Hennis-Plasscharet berkata, rantau asia barat di ambang malapetaka baharu yang tidak boleh dinafikan lagi.
“Tiada penyelesaian ketenteraan yang akan menjadikan kedua-dua pihak lebih selamat,” tegasnya.
Ulama Kristian terkemuka Lubnan, Bechara Boutros al-Rai ketika khutbah Ahadnya berkata, Lubnan ‘sangat sedih’ dengan korban dalam kalangan orang awam dan anggota Hezbollah berikutan serangan minggu lalu, ucapan takziah yang jarang berlaku oleh seorang pemimpin Kristian kepada kumpulan itu.
“Kami mengarahkan rayuan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menamatkan perang ini dengan segala cara yang ada,” kata Rai.-REUTERS











