Hampir 4,000 rakyat Gaza hilang tangan, kaki - Utusan Malaysia

Hampir 4,000 rakyat Gaza hilang tangan, kaki

KANAK-kanak Palestin menghadiri kem musim panas yang diadakan di kem pelarian Jabalia, utara Gaza, pada 27 Julai lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Satu perempat daripada mangsa yang cedera dalam perang di Gaza, mengalami kehilangan upaya yang akan menjejaskan kehidupan mereka, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Jelas agensi itu menerusi wakilnya, Rik Peeperkorn, ada antara mangsa kudung di kaki atau tangan, sementara sebahagian yang lain terpaksa menjalani proses pemulihan yang lama.

“Sekurang-kurangnya 22,500 daripada penduduk awam yang cedera di Gaza dalam tempoh 11 bulan sejak perang meletus perlu menjalani pemulihan yang akan mengambil masa bertahun-tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenaikan mendadak dalam proses ini diperlukan ketika sistem kesihatan terjejas akibat konflik yang berterusan,” kata Peeperkorn.

Merujuk kepada analisis terkini tentang jenis kecederaan akibat konflik tersebut, WHO mendedahkan, ribuan wanita dan kanak-kanak termasuk dalam golongan yang cedera teruk dan ramai yang mengalami lebih daripada satu kecederaan.

Jelas analisis berkenaan, sebanyak 13,455 hingga 17,550 kecederaan anggota badan yang serius dilaporkan dengan antara 3,105 hingga 4,050 daripadanya hilang tangan atau kaki.

Kecederaan lain termasuk melibatkan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik dan melecur teruk.

Pada masa sama, jelas WHO, hanya 17 daripada 36 hospital di Gaza kini berfungsi ketika perkhidmatan penjagaan kesihatan utama sering terjejas akibat perang yang berterusan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini