Enam pegawai tertinggi Ukraine letak jawatan - Utusan Malaysia

Enam pegawai tertinggi Ukraine letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Seramai enam pegawai Ukraine termasuk menteri kabinet menyerahkan surat peletakan jawatan sejak Selasa lalu, manakala seorang pembantu presiden dipecat. 

Situasi itu menandakan rombakan besar-besaran sedang berlaku dalam barisan pentadbiran kerajaan. 

Antara pemimpin yang menyerahkan surat peletakan jawatan itu ialah Menteri Industri Strategik, Alexander Kamyshin, Menteri Kehakiman, Denys Maliuska, Menteri Perlindungan Alam Sekitar, Ruslan Strilets, Timbalan Perdana Menteri, Olha Stefanishyna dan Iryna Vereshchuk, serta Ketua Dana Harta Negara Ukraine, Vitaliy Koval. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seperti yang dijanjikan, rombakan besar Kabinet dijangka berlaku minggu ini. 

“Lebih 50 peratus kakitangan Kabinet Menteri akan ditukar. Hari ini kita akan menyaksikan hari peletakan jawatan, dan esok pula hari pelantikan baharu,” tulis David Arakhamia, Ketua Fraksi Parlimen Parti Pemerintah di Telegram.

Seorang lagi Pembantu Kanan Presiden, Rostyslav Shurma, turut dipecat berdasarkan dekri presiden.

Rombakan itu dilakukan ketika Ukraine terus bertahan menghadapi serangan yang dilakukan oleh Russia sambil menumpukan serangan ke wilayah Kursk, Russia. 

Pada hari sama pengumuman itu dibuat, serangan Russia terhadap bandar Poltava di tengah Ukraine mengorbankan 51 orang dan mencederakan 271 yang lain. 

Presiden Zelensky berjanji Russia perlu bertanggungjawab atas serangan itu, dan mengulangi seruan agar lebih banyak sistem pertahanan udara dibekalkan oleh kuasa Barat yang boleh melindungi pihaknya daripada serangan Moscow.

Untuk rekod, Zelensky beberapa kali melakukan perubahan dalam kerajaannya sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh terhadap Ukraine pada Februari 2022. 

Pada Mei tahun lalu, beliau memecat Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov selepas beberapa skandal rasuah, dan memecat Komander Tertinggi Kyiv, Valerii Zaluzhnyi pada awal tahun ini.

Sekurang-kurangnya lima portfolio kerajaan, termasuk portfolio infrastruktur dan pertanian, kekal kosong sejak barisan menteri meletak jawatan atau dipecat, awal tahun ini. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini