GEORGIA: Bapa kepada seorang remaja berusia 14 tahun yang membunuh empat orang dalam satu serangan di Sekolah Tinggi Apalachee, bandar Winder, mengaku membelikan senjata yang digunakan dalam insiden itu sebagai hadiah untuk anaknya pada Disember tahun lalu.
Satu sumber memberitahu CNN, Colin Gray, 54, membeli senapang AR-15 itu untuk anaknya, Colt, 14, sebagai hadiah Krismas.
Perkara itu didedahkan selepas Colin ditahan semalam kerana sengaja membenarkan anaknya memiliki senjata untuk melakukan pembunuhan tersebut.
Pengarah Biro Penyiasatan Georgia, Chris Hosey berkata, lelaki berkenaan didakwa atas empat tuduhan pembunuhan tidak sengaja, dua tuduhan pembunuhan darjah kedua dan lapan tuduhan kekejaman terhadap kanak-kanak.
“Pertuduhan itu berpunca daripada tindakan Colin yang sengaja membenarkan anaknya, Colt, memiliki senjata,” kata Hosey dalam satu sidang media.
Colt, 14, yang didakwa atas empat tuduhan pembunuhan akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Georgia di Barrow County pagi ini.
Pegawai negeri Georgia dan penyiasat Barrow County menyatakan, remaja itu menggunakan senapang separa automatik dalam serangan yang membunuh dua guru dan dua pelajar berusia 14 tahun.
Kejadian tembakan itu menimbulkan semula perdebatan mengenai kawalan senjata api dan
pendakwaan terhadap bapa pelaku mungkin membolehkan pihak berkuasa mengawal insiden bersenjata di sekolah oleh pelajar. – AGENSI











