Yi Wen umum persaraan daripada skuasy antarabangsa

Yi Wen umum persaraan daripada skuasy antarabangsa

CHAN Yi Wen (kiri) bersama Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro sewaktu mengumumkan persaraannya di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita negara, Chan Yi Wen membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa, semalam, pada usia yang masih muda iaitu 24 tahun.

Dilahirkan pada 23 September 2000 di Jitra, Kedah, Yi Wen yang berada di ranking ke-70 dunia membuat keputusan itu setelah menimbang semasak-masaknya berhubung masa depannya.

Berita sedih itu dikongsi pemain tersebut selepas tamat Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE kali ke-39 di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta, semalam.

Selama 10 tahun bersama pasukan kebangsaan, Yi Wen berkata, dia terpaksa membuat keputusan itu demi masa depannya.

“Meninggalkan arena skuasy kompetitif bukanlah keputusan yang mudah, namun, saya membuat keputusan ini setelah mendapat tawaran baik dan saya akan mula bekerja tidak lama lagi.

“Lagipun, selepas tamat pengajian di peringkat sarjana, saya mula memikirkan sama ada untuk terus terlibat dalam skuasy atau beralih ke dunia korporat,” kata pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina itu.

Menurut Yi Wen, usianya kini 24 tahun dan jika dia tunggu sekitar umur 28 atau 29 tahun baru hendak menyertai sektor korporat, mungkin ia sudah agak terlewat untuk memulakan karier.

Jelasnya, selepas berbincang dengan keluarga dan pakar psikologi, dia akhirnya membuat keputusan itu selepas melakukan banyak persediaan mental untuk peralihan tersebut.

Sepanjang kariernya sebagai pemain kebangsaan, Yi Wen telah meraih beberapa gelaran termasuk Kejohanan Antarabangsa Klasik Chongqing , Terbuka Melbourne, Terbuka North Coast dan terbaru, Hong Kong PSA Challenge Cup, Februari lalu.

Kejuaraan terakhir disertai Yi Wen adalah Kejohanan Dunia PSA di Kaherah, Mesir, Mei lepas.

Berkongsi kenangan manis sepanjang bersama skuad negara, Yi Wen berkata, meraih pingat gangsa pada Kejohanan Berpasukan Dunia 2022 di Kaherah, Mesir merupakan detik yang akan terus melekat di jiwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN