PETALING JAYA: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-undang Negeri.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan itu masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Menurutnya, perkara itu termaktub dalam Perkara 37 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Berhubung dengan Kenyataan Media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 22 September 2026 mengenai penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri yang berkuat kuasa serta-merta.
“Jabatan ini berpandangan bahawa MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AGC berkata, sebarang pelantikan Penasihat Undang-undang Negeri yang baharu juga perlu mematuhi Perkara 37 UUTKNS.
Katanya, pelantikan berkenaan hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengumumkan MMKN sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN











