Umat Islam United Kingdom ketakutan - Utusan Malaysia

Umat Islam United Kingdom ketakutan

KUMPULAN perusuh di United Kingdom.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Hampir 4 juta umat Islam United Kingdom (UK) kini berada dalam ketakutan ekoran rusuhan besar-besar yang didalangi kumpulan haluan kanan dan anti Islam yang mengambil tindakan menyerang masjid dan pusat komuniti Islam di negara itu.

Rusuhan yang bermula sejak minggu lalu bertukar ganas apabila perusuh mengambil tindakan menyerang sebuah masjid di Southport, Liverpool dan menyerang anggota polis.

Al Jazeera melaporkan insiden itu berlaku beberapa jam selepas bandar tersebut mengadakan upacara memperingati mangsa bunuh dan cedera dalam serangan pisau di sebuah kelas tarian dan yoga kanak-kanak yang kononnya dilakukan oleh remaja berusia 17 tahun.

Situasi itu menyebabkan beberapa negara termasuk Malaysia dan Indonesia mengeluarkan amaran keselamatan kepada rakyat mereka di UK berikutan protes dan rusuhan antipendatang yang berlarutan selama beberapa hari.

Bagaimanapun Perdana Menteri UK, Keir Starmer menegaskan penunjuk perasaan ganas yang menyasarkan masyarakat Islam akan segera menghadapi tindakan undang-undang.

Malah beliau juga memberi jaminan terhadap keselamatan umat Islam di UK menerusi satu sidang akhbar khas baru-baru ini, seperti dilaporkan BBC.

Sebelum ini, Starmer menuduh syarikat media sosial menyemarakkan protes, yang didorong oleh dakwaan palsu yang tersebar dalam talian, berhubung suspek pembunuhan tiga kanak-kanak di Southport adalah seorang pencari suaka.

Downing Street pada Isnin berkata, tindakan yang diambil oleh syarikat media sosial untuk menangani bahan mengelirukan dan menghasut masih belum mencukupi.

Tindakan itu menyebabkan pemilik platform media sosial X, Elon Musk dan Starmer bertelagah selepas taikun teknologi itu mendakwa Britain sedang menuju ke arah perang saudara.

Dalam ulasan di laman media sosialnya mengenai keganasan itu, Musk menyifatkan perang saudara sebagai insiden yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, jurucakap rasmi Perdana Menteri UK menolak perkara itu dan menegaskan tiada justifikasi untuk kenyataan tersebut.

Musk kemudian membalas satu hantaran di X, mempersoalkan keputusan Starmer menyediakan perlindungan tambahan untuk masjid.

Hantaran Musk itu adalah reaksi kepada pengumuman Starmer pada Ahad lepas, untuk menawarkan kakitangan keselamatan tambahan kepada masjid yang berisiko menjadi sasaran.

“Bukankah anda sepatutnya mengambil berat mengenai serangan terhadap semua komuniti?,” soal Musk.

Menurut Telegraph, perbalahan itu berisiko merumitkan usaha kerajaan untuk membuat syarikat media sosial, termasuk X, lebih proaktif dalam menghapuskan palsu yang dipercayai menyemarakkan rusuhan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN