LONDON: United Kingdom (UK) hanya menggantung 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel, selepas satu penilaian mendapati ia digunakan dalam jenayah perang terhadap penduduk Palestin.
Setiausaha Luar David Lammy dalam pengumuman yang dibuat di Parlimen semalam berkata, keputusan itu diambil selepas semakan terhadap pemilik lesen eksport senjata UK dan mendapati ia mungkin digunakan dengan cara melanggar undang-undang antarabangsa.
“Britain bertanggungjawab menyemak lesen eksport senjata terutamanya apabila berlaku konflik seperti di Gaza.
“Dengan rasa kesal saya memaklumkan kepada Parlimen bahawa penilaian mendapati ada eksport senjata UK dibuat ke Israel,” katanya seperti laporan agensi berita Anadolu.
Beliau berkata, penggantungan 30 lesen itu bukan embargo senjata, sebaliknya ditetapkan di bawah rangka Kerja Kawalan Eksport.
Sebelum ini, kerajaan Britain berdepan kecaman mengenai lesen eksport senjata yang berterusan ke Israel.
Pada Jun lalu, Jabatan Perniagaan dan Perdagangan mendedahkan UK mengeluarkan 108 lesen eksport senjata ke Israel sejak 7 Oktober tahun lalu, apabila konflik Gaza bermula, dengan lebih 300 lesen masih aktif.
Menurut data yang didedahkan semalam, sebanyak 30 lesen tersebut melibatkan eksport komponen untuk pesawat tentera, helikopter, dron dan peralatan yang digunakan dalam serangan darat.
Kementerian Luar memaklumkan, beberapa lesen eksport senjata yang tidak digunakan dalam konflik Gaza tidak terlibat dengan penggantungan berkenaan.










