LONDON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa United Kingdom (UK) untuk mengekang peningkatan mendadak penggunaan ucapan kebencian berbaur perkauman dalam kalangan ahli politik Britain dan tokoh awam berprofil tinggi.
Menurut laporan Jawatankuasa PBB mengenai penghapusan diskriminasi kaum, menteri mesti menggunakan langkah komprehensif untuk tidak menggalakkan dan memerangi ucapan kebencian serta wacana xenofobia oleh tokoh politik.
Ini termasuk memastikan kes tersebut disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang secara berkesan, kata laporan yang dibentangkan Jumaat lalu.
Ahli jawatankuasa itu enggan menamakan ahli politik atau tokoh masyarakat yang membuat komen mencetuskan kebimbangan, tetapi terdapat banyak laporan mengenai ucapan perkauman oleh individu terkenal sehingga mengheretnya menjadi isu serius di UK.
Berdasarkan semakan selama empat tahun terhadap rekod Britain menangani diskriminasi kaum, jawatankuasa itu menekankan manifestasi perkauman yang membimbangkan di UK, terutama penggunaan kekerasan oleh penguatkuasaan undang-undang.
Trend dalam menghapuskan diskriminasi kaum di UK direkodkan merosot sejak 2016, apabila badan PBB kali terakhir menerbitkan penyelidikannya.
Laporan tersebut menyebut kebimbangan baharu mengenai tindakan perkauman berulang, keganasan dan ucapan kebencian terhadap etnik minoriti dan etno-agama, migran, pelarian dan pemohon suaka oleh ekstremis kulit putih.
Terdapat juga kebimbangan mengenai peningkatan retorik xenofobia dalam media cetak dan penyiaran serta di media sosial.
Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut memuji tindakan pantas yang diambil oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam rusuhan anti-Islam dan anti-imigran, awal bulan ini.
Rusuhan terburuk di UK dalam tempoh lebih sedekad itu menyebabkan kira-kira 1,100 orang ditangkap.- THE GUARDIAN










