LONDON: Raja England, Raja Charles III akhirnya ke Southport memberi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam insiden tikaman pada bulan lalu yang mencetuskan rusuhan dan serangan perkauman terhadap umat Islam dan pendatang.
Pemerintah monarki Britain itu sebelum ini berdepan kritikan kerana terus membisu berhubung rusuhan keganasan anti-Islam yang berlaku sejak awal minggu lalu di England dan Ireland Utara.
Bagaimanapun secara tradisinya, raja tidak akan mengulas mengenai perkara yang boleh menyebabkan kontroversi politik.
Dalam lawatan ke Southport, tempat kejadian berlaku, baginda bertemu dengan sebahagian daripada kanak-kanak yang terselamat serta keluarga mereka, sebelum bertemu dengan wakil perkhidmatan kecemasan tempatan serta kumpulan-kumpulan komuniti.
Baginda juga meninjau bunga dan mainan yang ditinggalkan sebagai tanda ingatan kepada mangsa tragedi tersebut, sambil menerima sorakan dan tepukan dari orang ramai yang hadir.
Tragedi yang berlaku pada 29 Julai itu menyaksikan tiga kanak-kanak perempuan terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan di sebuah kelas tarian di Southport, utara England.
Rusuhan yang tercetus selepas kejadian itu disebabkan oleh maklumat palsu dalam talian yang mendakwa serangan tersebut dilakukan oleh seorang pendatang Islam.
Pihak polis kemudiannya mengesahkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilahirkan di Britain, telah didakwa dengan tiga pertuduhan membunuh iaitu 10 pertuduhan cubaan membunuh, dan satu pertuduhan memiliki senjata tajam.-AGENSI










