PARIS: Peguam kepada Pavel Durov menolak tuduhan bahawa pengasas Telegram itu perlu dipertanggungjawabkan terhadap sebarang jenayah yang berlaku di aplikasi tersebut.
Peguam David-Olivier Kaminsi, yang mewakili Durov di Perancis, berkata ‘tidak masuk akal’ untuk mengatakan anak guamnya atau platform Telegram bertanggungjawab terhadap penyalahgunaan yang berlaku di aplikasi itu.
Bahkan, beliau turut menegaskan bahawa Telegram mematuhi undang-undang Eropah.
Penahanan Durov di Perancis, yang pertama bagi seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) platform pemesejan, memberi amaran kepada pemilik media sosial yang enggan menangani dakwaan kegiatan haram di aplikasi mereka.
Ini juga menyebabkan hubungan antara Perancis dan Russia semakin merosot, di mana beberapa tokoh pro-Kremlin menuduh Amerika Syarikat (AS) terlibat di sebalik penahanan Durov.
Hakim Perancis meletakkan Durov di bawah siasatan rasmi kerana disyaki terlibat dalam menjalankan platform dalam talian yang membenarkan transaksi haram, imej penderaan seks kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.
Jutawan berusia 39 tahun, yang mempunyai kewarganegaraan Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), juga disyaki melakukan pengubahan wang haram serta menyediakan mesej yang disulitkan kepada penjenayah.
Sumber kehakiman memberitahu, Durov dibenarkan ikat jamin dengan syarat beliau membayar lima juta euro (RM24 juta) dan tidak meninggalkan wilayah Perancis.
Durov juga diarahkan melapor diri dua kali seminggu kepada polis dan berada di rumah pada waktu tertentu.
Diletakkan di bawah siasatan rasmi di Perancis tidak bermakna bersalah atau semestinya membawa kepada perbicaraan, tetapi hakim berpendapat ada bukti mencukupi untuk meneruskan siasatan.
Siasatan boleh mengambil masa bertahun-tahun sebelum dihantar untuk perbicaraan atau digugurkan.
Ini bukan kali pertama Telegram berdepan dengan tindakan polis dan pihak berkuasa kehakiman.
Pada 2022, Hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes menggantung sementara Telegram di negara itu, kerana berulang kali enggan mematuhi perintah kehakiman.- REUTERS










