PARIS: Atlet Jamaica, Roje Stona melakukan lemparan sejauh 70 meter (m) untuk melakar rekod baharu Olimpik sekali gus mengungguli acara lempar cakera lelaki, semalam.
Stona memadam rekod lama Olimpik iaitu hanya berbeza tiga sentimeter daripada pemegang rekod dunia yang juga pemenang pingat perak, Mykolas Alekna dari Lithuania sejauh 69.97m.
Stona berkata, beliau masih dalam keraguan untuk meneruskan kerjaya dalam American Football selepas meraih kemenangan pada acara yang mendebarkan itu.
“Ianya adalah malam yang sangat istimewa. Ianya adalah segala-galanya yang saya mahukan, tetapi untuk benar berlaku, ini adalah satu perasaan yang sangat baik.
“Dalam latihan menjelang pertandingan, saya berasa hebat. Jadi saya percaya dengan diri saya sendiri dan saya tahu saya mempunyai kemampuan itu,” kata Stona.
Alekna ingin mengikuti jejak langkahnya Virgilijus Alekna yang mana merangkul dua gelaran Olimpik edisi 2000 dan 2004, namun dinafikan oleh Stona.
Stona di bawah bimbingan Ryan Crouser dari Amerika Syarikat (AS), mencuri tumpuan apabila melakukan lemparan sejauh 70m pada percubaan keempat.
“Saya melakukan beberapa perkara yang saya tidak tahu saya mampu lakukan. Namun saya mempunyai kepercayaan, jadi saya berada pada masa ini dan saya menikmatinya.
“Jamaica sepatutnya berbangga sekarang ini, mereka harus meraikannya. Acara padang berada di landasan yang betul sekarang. Kami melakukan yang baik, kami mendapat pingat,” ujarnya. – AGENSI










