PETALING JAYA: Pasukan pelayaran Royal Selangor Yatch Club (RSYC) bakal membawa cabaran di Beihai, China pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Belt & Road, Oktober ini.
RSYC menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka akan membawa enam atlet menerusi Rizal Mahadi Sazili sebagai ketua diikuti Muhammad Syafiq A. Rahim, Muhammad Shaifullah Ali, Muhamad Faaiz Norizan, Muhammad Hafizzudin Mazelan serta Ahmad Kashfi Alwi.
“Setiap ahli pasukan akan membawa pengalaman dan kemahiran yang unik bagi memastikan Malaysia dapaf bersaing pada peringkat tertinggi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, kaptennya Rizal berkata pasukan RSYC sangat teruja dan berbesar hati dapat mewakili Malaysia pada edisi kali ini.
“Kami telah melakukan persiapan dengan rapi dan bersemangat untuk menunjukkan prestasi terbaik dalam kejohanan ini,” jelasnya.
Regatta Antarabangsa Belt & Road merupakan satu kejohanan pelayaran paling berprestij di rantau ini dan telah menarik minat 24 pasukan dari seluruh dunia.
Kejohanan terbabit bakal membuka tirai saingannya pada 10 hingga 12 Oktober ini. – UTUSAN.










