DOHA: Jenazah Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh selamat dikebumikan di Lusail, utara Doha hari ini.
Terdahulu, keranda jenazah yang dibaluti bendera Palestin dibawa ke Masjid Imam Muhammad Ibn Abd al-Wahhab untuk solat Jenazah.
Ratusan ribu umat Islam dari pelbagai negara menyertai solat jenazah dengan suasana hiba menyelubungi masjid sebaik sahaja doa dibacakan terhadap Ismail.
Menurut Al-Jazeera, para jemaah hadir yang memakai mafla bendera Palestin berkumpul sejak awal pagi untuk menunaikan solat jenazah yang dilakukan selepas solat Jumaat.
Selepas itu, jenazah dibawa di Tanah Perkuburan Founding Imam di bandar Lusail, Qatar untuk dikebumikan.
Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusoh Kalla merupakan antara pemimpin asing yang menghadiri majlis pengebumian pemimpin utama Hamas tersebut.
Malaysia pula diwakili Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan diiringi Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan para pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri.
Terdahulu, jenazah Ismail bersama pengawal keselamatannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi upacara pengebumian.
Kelmarin, Iran yang berkabung selama tiga hari berikutan kematian Ismail mengadakan acara penghormatan terakhir buat pemimpin tertinggi Hamas itu pada Khamis.
Haniyeh, 62, berada di Iran bagi menghadiri acara angkat sumpah Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian, di Tehran, sehari sebelum itu. – AGENSI

Ratusan ribu umat Islam menghadiri majlis pengebumian Ismail Haniyeh di Qatar. – AGENSI










