PETALING JAYA: Kemenangan UMNO di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, semalam menandakan pengundi Melayu masih menyayangi parti tersebut.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh berkata, Nenggiri membawa seribu satu makna dalam parti tersebut dan ia membuktikkan bahawa kekuatan UMNO adalah orang Melayu bumiputera.
Kata beliau, populasi Nenggiri yang hampir 95 peratus Melayu bumiputera menjadi satu indikator bahawa UMNO masih lagi di hati setiap orang Melayu.
“Sebelum ini mereka mungkin sayang, tetapi tidak percaya kepada UMNO dan membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan dan beralih arah kepada parti selain UMNO untuk memberi signal bahawa rakyat mahukan perubahan dalam UMNO
“Mereka merasakan UMNO perlu berubah dahulu baru kepercayaan mereka akan kembali terhadap UMNO. Berubah dari gaya politik dan pemikiran yang tidak lagi relevan di hati rakyat.
“Rakyat mahukan pemimpin yang berkhidmat dan berani membawa suara mereka bukan pemimpin yang hanya bergelar yang berhormat tetapi hanya memikirkan tentang kepentingan diri sahaja,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan bergaya selepas calonnya Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas memperoleh undian keseluruhan 0,091 undi sekali gus merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Mohd. Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi sekaligus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Mengulas lanjut, Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, bukan mudah untuk melakukan perubahan tetapi UMNO berjaya melakukan ia di Nenggiri.
“Alhamdulilah rakyat menerima dan kembali mempercayai parti keramat ini dan kepercayaan ini bukanlah bersifat kekal, kerana jika kita lalai,maka sudah pasti kita akan dihukum kembali oleh rakyat.
“Terima kasih kepada pimpinan tertinggi UMNO kerana mempercayai barisan pemuda UMNO untuk menerajui perubahan ini,” katanya.
Tambahnya, UMNO wajib menjadi platform utama untuk menyatupadukan Melayu Islam di negara seperti mana di peringkat awal penubuhan parti itu dahulu. –UTUSAN











