Motor melulu keluar simpang punca bas SUK terbalik - Utusan Malaysia

Motor melulu keluar simpang punca bas SUK terbalik

Bas SUK
KEADAAN bas milik SUK membawa penumpang terdiri daripada kakitangan Mahkamah Selangor terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Simpang Morib (Kampung Kelanang - Taman Dawai), Banting, di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tindakan penunggang motosikal keluar simpang secara melulu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan sebuah bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dekat Morib, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, motosikal berkenaan dipercayai keluar dari simpang perumahan (Kampung Kelanang – Taman Dawai) dan membelok Ke kanan lalu memasuki lorong bas.

Menurutnya, akibat jarak terlalu dekat, pemandu bas melanggar bahagian kiri motor jenis Honda EX5 itu menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.

“Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kaki serta rusuk.

“Sementara pemandu bas berusia 46 tahun bersama seorang kelindan berumur 39 yang membawa 21 penumpang kesemuanya warga tempatan (kakitangan Mahkamah Shah Alam) mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, kesemua penumpang itu dalam perjalanan menuju Pusat Latihan Awam Selangor di Morib untuk menghadiri kursus.

Justeru, Ahmad Ridhwan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga menyeru saksi bebas yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mazrol Mohd. Din di talian 011-1853 9115 atau 03-31872222.

Semalam, akhbar ini melaporkan tujuh termasuk pemandu dan kelindan parah apabila sebuah bas SUK Selangor yang dinaiki bersama 15 penumpang lain terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Simpang Morib (Kampung Kelanang – Taman Dawai), Banting.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, bas yang membawa 21 orang penumpang dan seorang kelindan itu dikatakan terbabas dalam parit berkedalaman 2 meter di lokasi kejadian selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Penumpang terdiri daripada seorang kelindan dan kakitangan Mahkamah Shah Alam berusia antara 30-an hingga 40-an dikatakan dalam perjalanan ke sana untuk menghadiri kursus keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN