WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan, motif seorang pemuda yang cuba membunuh bekas Presiden Donald Trump masih kekal misteri selepas dia dipercayai bertindak sendirian tanpa penglibatan pihak asing.
Penemuan mengenai Thomas Crooks, 20 , yang ditembak mati sejurus melepaskan lapan tembakan terhadap Trump di satu perhimpunan di Butler, Pennsylvania, pada13 Julai lalu itu, didedahkan ejen khas FBI, Kevin Rojek di sini kelmarin.
Menurut Rojek, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati Crooks menggunakan enjin carian untuk mengetahui lokasi kempen Trump dan Presiden, Joe Biden sejak September tahun lalu.
Katanya, sebagai ahli Parti Republikan, pemuda itu mendaftar untuk menghadiri perhimpunan di Butler seminggu sebelum kejadian.
“Crooks turut melayari Internet untuk mengetahui jarak pembunuh Lee Harvey Oswald menembak Presiden John F Kennedy pada tahun 1963.
“Dia juga mencari cara untuk membuat bom,” kata Rojek pada satu sidang akhbar semalam yang turut mendedahkan senjata digunakan pemuda berkenaan semasa serangan.
Tambah beliau, selepas mengetahui tentang kempen Trump di Butler, Crooks meneliti lokasi calon Presiden dari Parti Republikan akan menyampaikan ucapan.
“Kami percaya dia merancang serangan ini dengan teliti,” ujarnya. – AGENSI











