Lesen media sosial risiko tindas kebebasan bersuara

Lesen media sosial risiko tindas kebebasan bersuara

Inisiatif rebat rahmah pengamal media diteruskan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mewajibkan syarikat media sosial mendaftar lesen menimbulkan kebimbangan risiko penindasan kebebasan bersuara.

Wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, dasar itu boleh menghalang perbincangan terbuka dan menindas pendapat berbeza yang membawa risiko besar kepada prinsip-prinsip demokrasi.

“Mewajibkan syarikat media sosial untuk mendaftar lesen adalah satu langkah yang boleh menghadkan pertukaran idea dan pendapat secara bebas.

“Kita perlu berhati-hati terhadap polisi yang boleh membawa kepada kuasa berlebihan dan penindasan,” katanya dalam kenyataan.

SKMM sebelum ini memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Mengulas lanjut, Tarmizi berkata, perkara itu juga dibimbangi meningkatkan potensi kebocoran data.

Katanya, ini kerana kewajipan syarikat untuk berkongsi maklumat sensitif dengan pihak berkuasa meningkatkan risiko kebocoran data yang boleh memberi kesan buruk kepada privasi pengguna dan keselamatan kewangan mereka.

“Pusat Pilihan Pengguna menegaskan bahawa sebarang langkah pengawalseliaan harus seimbang antara keselamatan awam dan perlindungan kebebasan individu,” katanya.

Tambah beliau, kewajipan itu turut dibimbangan menyebabkan bebanan yang mungkin dihadapi oleh platform lebih kecil yang mungkin menghadapi kesukaran dengan kos pematuhan dan keperluan pentadbiran proses pelesenan.

Katanya, ini boleh menghalang inovasi dan mengurangkan persaingan dalam pasaran digital yang akhirnya mengurangkan pilihan pengguna.

“Pusat Pilihan Pengguna menggesa penilaian semula terhadap polisi ini. Kami menyeru SKMM dan kerajaan untuk melibatkan diri dalam dialog dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk membangunkan rangka kerja yang menegakkan kedua-dua keselamatan dan hak-hak asas bersuara dan privasi.

“Proses yang telus dan inklusif adalah penting untuk memastikan bahawa polisi ini selaras dengan nilai-nilai demokrasi dan keperluan zaman digital,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN