Kembali bersama selepas perceraian - Utusan Malaysia

Kembali bersama selepas perceraian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu sebab pasangan membuat keputusan untuk bercerai adalah setelah merasakan hubungan mereka tidak lagi dapat diselamatkan.

Keputusan itu boleh datang dari masalah seperti ketidaksetiaan, ketidaksefahaman, keganasan rumah tangga atau pelbagai isu lain yang menyebabkan hubungan menjadi toksik.

Pun begitu perceraian bukanlah penghujung kepada segala-galanya, tetapi permulaan untuk mengenal dan memperbaiki diri .

Minggu ini saya kongsikan pengalaman Rashidah dan Hairi (bukan nama sebenar) yang memilih untuk kembali bersama setelah menyesal dengan keputusan bercerai.

Setelah melalui proses perceraian yang sukar dan menyakitkan, kedua-duanya memutuskan untuk memberi peluang kedua kepada hubungan mereka.

Dalam tempoh perpisahan, mereka menyedari betapa berharganya antara satu sama lain.

Rashidah dan Hairi menggunakan tempoh tersebut untuk memperbaiki diri masing-masing.

Menyingkap kisah lalu, kata Rashidah mereka telah berkahwin selama 15 tahun.

Pada awal perkahwinan, hubungan mereka sangat bahagia.

Mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wawa dan Amirul (bukan nama sebenar) ketika itu berusia 14 dan 12 tahun.

Manakala paling bongsu, Daniel (bukan nama sebenar) berusia 8 tahun.

Namun seiring berjalannya waktu, pelbagai masalah timbul.

Tekanan kerja, perbezaan pendapat dan kurangnya komunikasi menyebabkan hubungan mereka renggang.

Hairi sibuk dengan pekerjaannya dan jarang ada di rumah.

Rashidah mula merasakan diri diabaikan dan kesepian.

Dia cuba untuk berbincang dengan Hairi mengenai perasaannya, tetapi Hairi sering mengabaikan isu itu dan beranggapan ia bukan perkara besar.

Lama kelamaan, hubungan mereka menjadi semakin renggang.

Setelah beberapa lama berusaha menyelamatkan perkahwinan mereka, Rashidah dan Hairi akhirnya memutuskan untuk bercerai.

Namun, proses perceraian tersebut tidak berjalan dengan lancar.

Peguam yang mereka lantik untuk menguruskan kes cerai sering menunda-nuda perbicaraan.

Selain itu, terdapat juga masalah dengan pembahagiaan harta dan hak penjagaan anak yang memerlukan masa lama untuk diselesaikan.

Setiap kali mereka menghadiri perbicaraan di mahkamah, kes tersebut ditangguhkan atas pelbagai alasan termasuk kekurangan bukti dan ketidakhadiran saksi.

Menurut Rashidah, proses perceraian yang sepatutnya seleasi dalam beberapa bulan, akhirnya mengambil masa bertahun-tahun .

Sepanjang tempoh itu, Rashidah dan Hairi hidup dalam ketidakpastian dan ketegangan,

Anak-anak juga terkesan dengan situasi tersebut, menjadi murung dan prestasi akademik mereka merosot.

Ini terutamanya, Daniel .

Bercerita lanjut kata Rashidah, sepanjang tempoh proses perceraian ketiga-tiga anak di letakkan di bawah jagaannya.

Ketika itu juga dia berasa kehilangan identitinya.

Selama bertahun-tahun dia dikenali sebagai isteri dan ibu . Sekarang dia perlu mencari semula dirinya sebagai individu.

Rashidah merasa sangat sedih dan kehilangan. Dia mula merindui Hairi dan kenangan bersama yang mereka bina,

Meskipun dia cuba kelihatan kuat di depan anak-anak, dalam hati tersimpan kesedihan.

Akuinya, dia juga sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai ibu tunggal.

Tekanan menguruskan kerja dan menjaga anak sendirian menjadi beban yang berat.

“Proses perceraian yang panjang menyebabkan saya merasa sedih dan kemurungan.

“Saya mulai merindui kehidupan berkeluarga yang dimiliki dan bersalah kepada anak-anak yang terpaksa melalui perceraian itu,” katanya.

Sementara itu di pihak Hairi, walaupun dia cuba menjalani kehidupan baru , dia berasa sangat kesepian.

Dia sangat -sangat merindui bekas isteri dan ketiga-tiga anaknya,

Dia kehilangan bukan sahaja pasangan hidupnya, tetapi juga beberapa kawan yang lebih berpihak kepada Rashidah.

Rasa bersalah atas kegagalan perkahwinan sering menghantui.

Hairi menyesal atas beberapa keputusan yang diambil semasa berkahwin dan berasa bertanggungjawab atas apa yang terjadi.

Sehinggalah pada suatu hari, mereka bertemu secara tidak sengaja di sebuah acara sekolah Daniel.

Pertemuan itu menjadi titik permulaan bagi Rashidah dan Hairi untuk berbual semula.

Mereka mula berkomunikasi lebih kerap mengenai anak-anak dan masing-masing menyedari mereka masih ada perasaan antara satu sama lain.

Kedua-duanya mula mengenang kembali hubungan mereka dan kesilapan lalu.

Rashidah dan Hairi menyedari banyak masalah mereka yang timbul dahulu berpunca dari kurangnya komunikasi dan keegoan masing-masing.

Setelah beberapa bulan berbincang secara terbuka, Rashidah dan Hairi memutuskan untuk memberi hubungan mereka satu lagi peluang.

“Kami sedar, jalan yang bakal kami lalui tidak mudah, tetapi kami berjanji untuk sama-sama berubah dan memperbaiki hubungan dan memberi yang terbaik untuk anak-anak,” ujarnya.

Menurut Rashidah, mereka mula membina semula kepercayaan antara satu sama lain.

Dengan usaha gigih dan jodoh yang kuat, hubungan mereka mula berubah menjadi lebih baik.

Mereka juga lebih menghargai masa bersama dan berkomunikasi dengan lebih baik.

Kisah Rashidah dan Hairi membuktikan bahawa perceraian boleh membawa kesedihan dan penyesalan, masih ada harapan untuk memperbaiki hubungan.

Ini sekiranya kedua-dua pihak bersedia untuk membuang ego, berkomunikasi dengan jujur.

“Alhamdulilah, minggu depan genap dua tahun kami kembali hidup bersama sebagai suami isteri,” ujarnya penuh makna.

Dengan lebih memahami erti dan tujuan perkahwinan, akhirnya mereka dapat membina semula keluarga dan mencari kebahagiaan sebenar.

Sebagaimana Firman Allah SWT,“Wahai sekali manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) ; Dan daripada keduanya, Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan (zuriat keturunan) yang ramai.
Dan bertakwalah kepada Allah dengan (mempergunakan ) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” ( Surah An-Nisaa 4; Ayat 1).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×