PETALING JAYA: Semua kelab Liga Malaysia (Liga M) wajib melepaskan pemain untuk mewakili Harimau Malaya pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, tiada alasan untuk tidak melepaskan pemain kecuali pemain itu mengalami kecederaan dan disahkan oleh pihak perubatan.
Katanya, Pestabola Merdeka 2024 merupakan kejohanan yang penting kerana ia berlangsung dalam kalender FIFA dan berpotensi untuk menaikkan ranking Harimau Malaya.
“Semua kelab sudah maklum akan tanggungjawab ini, mereka diwajibkan untuk melepaskan pemain apabila dipanggil bagi mana-mana tugasan negara.
“Tidak ada alasan untuk tidak melepaskan pemain, kecuali jika pemain itu mengalami kecederaan dan disahkan oleh pihak perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Pestabola Merdeka 2024, Malaysia diundi bertemu Filipina pada 4 September ini dan sekiranya menang, Harimau Malaya akan berdepan Lubnan atau Tajikistan pada 8 September.
Selain itu kata Firdaus, FAM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kelab yang enggan melepaskan pemain dalam senarai pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
“Sudah pasti tindakan yang tegas bakal diambil sekiranya kelab-kelab Liga M tidak mahu melepaskan pemain yang telah disenaraikan oleh Vicente kelak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan hanya pemain terbaik negara akan membarisi Harimau Malaya pada kejohanan berkenaan bagi memastikan skuad negara meraih kemenangan.
“FAM sedang dalam proses memastikan segala persiapan berjalan lancar dan kami akan memastikan hanya pemain terbaik yang akan mewakili negara dalam kejohanan ini,” katanya.
Untuk rekod, kejohanan ini juga merupakan tugasan pertama Vicente selepas mengambil alih posisi Kim Pan Gon yang membuat keputusan menyertai kelab Korea Selatan, Ulsan HD.-UTUSAN










