Julai 2024 bulan kedua paling panas di dunia

Julai 2024 bulan kedua paling panas di dunia

DUA orang pesawah memegang kepingan tanah yang merekah di kawasan bendang mereka di Kampung Semadong, Beseri, Padang Besar, Perlis, semalam. Mereka antara 70 pesawah yang terkesan akibat cuaca panas yang melanda ketika ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Bulan Julai lalu direkodkan sebagai bulan kedua terpanas di dunia, hanya sedikit ketinggalan berbanding Julai tahun lalu, lapor Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (Copernicus).

Menurut satu laporan yang dikeluarkan badan berkenaan semalam, purata suhu permukaan udara pada bulan lalu mencatat 16.91 darjah Celcius, kurang 0.04 darjah Celcius berbanding Julai tahun lalu.

Agensi berita Xinhua yang melaporkan data itu menyatakan, ia sekali gus memecahkan tempoh 13 bulan di mana setiap bulan adalah yang paling panas berikutan fenomena El Nino.

Copernicus memaklumkan, suhu tinggi tersebut antaranya disumbangkan oleh pelepasan gas rumah kaca dari industri berasaskan bahan bakar fosil.

Seorang penyelidik di Copernicus, Julien Nicolas berkata, pihaknya masih meneliti  rekod suhu yang menyebabkan gelombang panas.

“Lautan yang biasanya tidak terjejas oleh El Nino turut mengalami kenaikan suhu yang luar biasa.

“Fenomena El Nino ini telah berakhir, tetapi kenaikan suhu global yang dicatat kali ini nampaknya serupa dengan setahun yang lalu,” katanya.

Suhu di atas purata dicatatkan di selatan dan timur Eropah, barat Amerika Syarikat, barat Kanada, Afrika, Asia Barat, Asia, dan timur Antartika.

Suhu hampir atau di bawah purata dilihat di barat laut Eropah, barat Antartika, beberapa bahagian Amerika Syarikat, Amerika Selatan, dan Australia. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN