JAKARTA: Pemenang pingat emas Olimpik 2024 dari Indonesia bakal menerima ganjaran lumayan berjumlah 6 bilion rupiah (RM1.7 juta).
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan ia sebagai tanda penghargaan usaha keras atlet negara itu untuk meraih pingat emas.
Bonus yang diterima kali ini lebih banyak berbanding ganjaran untuk edisi Tokyo 2020, di mana pemenang pingat emas untuk temasya berkenaan menerima ganjaran berjumlah 5.5 bilion rupiah (RM1.5 juta).
Indonesia meraih dua pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Veddriq Leonardo dan Rizki Juniansyah.
Veddriq mengungguli acara speed climbing lelaki dengan Rizki pula meraih emas dalam acara angkat berat kategori 73 kilogram (kg).
Majlis penyampaian bonus buat kontinjen Indonesia yang diadakan di Istana Negara, Jakarta pada 15 Ogos turut mendedahkan imbuhan diterima buat pemenang pingat perak, gangsa termasuk atlet yang gagal meraih pingat.
Jurulatih yang membantu Veddriq dan Rizki meraih pingat emas mendapat ganjaran sebanyak 2.75 bilion rupiah (RM779,000) manakala atlet dan jurulatih yang meraih pingat perak dan gangsa pula masing-masing menerima 1.65 bilion rupiah (RM467,000) dan 675 juta rupiah (RM191,000).
Jokowi turut mengumumkan pemberian insentif kewangan sebanyak 250 juta rupiah (RM70,000) kepada atlet Indonesia yang gagal meraih pingat dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“Pertama saya ingin mengucapkan ucapan terima masih dan penghargaan setinggi-tingginya dari bangsa Indonesia kepada atlet yang sudah berjuang keras di Olimpik Paris 2024 dan memberikan kebanggaan luar biasa bagi bangsa dan rakyat Indonesia.
“Sebagai bentuk penghargaan atas prestasi membanggakan ini, pemerintah telah menyiapkan bonus sebesar 6 bilion rupiah (RM1.7 juta) untuk meraih pingat emas, 1.65 bilion rupiah (RM467,000) untuk pemenang pingat lain (perak dan gangsa).
“2.75 bilion rupiah (RM779,000) untuk jurulatih atlet meraih emas, untuk pelatih pemenang pingat perak dan gangsa 675 juta rupiah (RM191,000). 250 juta rupiah (RM70,000) untuk atlet yang tidak mendapat pingat sebagai penghargaan,” kata Jokowi.
Pencapaian dua pingat emas ini menyamai pencapaian yang dilakar Indonesia dalam temasya Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol. – AGENSI










