TOKYO: Satu gempa bumi sederhana menggegar Miyazaki City di Pulau Kyushu Jepun hari ini, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan.
Stesen penyiar awam Jepun, NHK melaporkan, gegaran sekuat 3.7 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 12.42 tengah hari ini waktu tempatan pada kedalaman 17 kilometer.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menggesa orang ramai terus bersedia menghadapi gegaran lebih kuat berikutan ramalan gempa kuat di sepanjang pesisir pantai Pasifik yang menempatkan Jurang Nankai.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Fumio Kishida terpaksa membatalkan lawatan ke Asia Tengah selepas saintis di negara ini memberi amaran Tokyo perlu bersedia menghadapi gempa bumi berskala besar.
JMA mengeluarkan nasihat itu selepas lapan orang cedera akibat gempa bumi sekuat 7.1 pada skala Richter di selatan Jepun.
Semalam, satu gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter direkodkan di selatan Laut Okhotsk, berhampiran pantai Hokkaido sementara gegaran sekuat 5.3 pada skala Richter menggegarkan wilayah Kanagawa berhampiran Tokyo pada pukul 7.57 malam kelmarin.
Pihak berkuasa di Jepun semalam menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik selepas beberapa gempa bumi menggegar negara ini sejak beberapa hari lalu.
Laman web gergasi e-dagang Jepun, Rakuten mendedahkan, antara yang paling dicari pengguna ialah tandas mudah alih, makanan dalam tin dan air minuman. – AGENSI











