BALIK PULAU : Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang rakan senegara mereka awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lay Zin Ton, 24, dan Myo Kyaw Hein,20, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang bekerja di sebuah restoran makanan ala Thailand didakwa dengan niat bersama telah membunuh Saw James iaitu seorang lagi lelaki warganegara Myanmar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, pada 4 Ogos lalu kira-kira pukul 11 malam hingga 5 Ogos, lebih kurang pukul 3 pagi.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Lushani bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA).
Sebelum ini, media melaporkan, polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar selepas menahan sembilan lelaki termasuk pemilik sebuah restoran masakan ala Thai bagi membantu siasatan dalam kejadian di Bukit Genting, pada 5 Ogos lalu.
Pembunuhan mangsa berusia 30 tahun itu terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan berhubung penemuannya dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditetak dengan 47 tetakan senjata tajam daripada rakan sekerja pada pukul 3.15 pagi.-UTUSAN










